Ahad, 28 Julai 2013

Pengubat Rindu


Krew Galaksi Dayasari pastinya masih terngiang-ngiang akan imbauan kenangan berteater. Al-maklumlah, pertama kali berkarya. Mungkin juga pertama kali berlakon sehingga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton. Hehe, kali ini cik Emon nak berceloteh saja tentang teater ini.


Teater Kanak-kanak yang cik Emon maksudkan, sudah tentulah Teater MESIN, teater karya PISMP A Ambilan Januari 2009. Skrip asal teater ini telah ditulis oleh cik Emon sendiri, tetapi telah diolah dengan baiknya oleh cikgu Farhana Sukre dan cikgu Dayangku Nurhazrin. 



Hah, inilah poster teater Mesin yang telah dipentaskan pada pukul 8.30 malam, 20 Oktober 2011 di Dewan Za'ba. Pementasan teater ini telah dibantu oleh Krew Gagak, warga PISMP B.


 

Namun, untuk menghilangkan kerinduan yang beraja, cik Emon telah menyediakan video untuk tontonan ulangan. Selamat menonton.


Lagu Tema Teater Mesin



Cik Emon : Sudah lama merinduinya. Ambillah pengajaran daripada kisah ini iaitu janganlah bersikap tamak dan memperguna orang lain untuk kepentingan diri sendiri...~_~

Ahad, 21 Julai 2013

Sajak - Puing-puing Cinta



Mereka masih leka menjamah candu asmara
bersaksi kemuning menjalar langit
bersama unggas sang mergastua raya
ria siulan mengalun irama katarsis
mahadamai dalam sentosa
sedang diriku dalam lara kesuma
maburan puing-puing cinta.

Kasihku terhunjam dalam
dari langit bumbung mendung
tercurah ke ceruk lurah
musnah segalanya.

Apa puing-puing ini bisa bersatu semula?
dibina atas tapak yakin dan percaya
atas kunci ikhlas setulusnya
masihkah ada ruang?
atau semuanya sudah terbuang?

Dari corong lingua ini
cintaku bugar sekembang inci alam
mesraku rancak dengan susila asli
meski rencam rempah resepi
di tanah mewah Semenanjung ini.

Aduh, ke mana puing-puing cintaku!
bicara lagikah atau membisu?
kian mekar atau melayu puhu?


Nukilan :
Faiz Suhaime,
2.10 pagi,
4 Disember 2010.


Cik Emon : Alhamdulillah, sajak ini telah tersiar dalam majalah Dewan Siswa keluaran Mac 2012. Harapnya rimbunan cinta yang menjalar dalam diri kita terus kukuh memasak pada akar nilai dan redha Ilahi...(n_n)

Sabtu, 20 Julai 2013

Kentut Si Menantu

Aku baru kahwin dan tinggal berdua sahaja dengan bini aku. Aku ni ada tabiat suka makan telur rebus. Tak tau lah kenapa, sedap agaknya. Sejak aku kahwin, tabiat tu kurang sikit sebab bini aku masak sedap-sedap. Jadi, dah lama juga lah aku tak pekena telur rebus ni.

          Jadi, alkisah, pada bulan lepas, balik dari kerja, kereta aku rosak. Aku hubungi bini aku dan cakap yang aku balik lambat sebab kena menapak. Sebab lapar sangat, masa dalam perjalanan tu, aku singgah di kedai makan. Ada telur rebus! Apa lagi........... Aku makan nasi dengan telur rebus lah dan order lagi buat ratah. Sebelum balik, aku bungkus telur rebus pula, buat makan sambil berjalan balik. Kenyang yang amat, maklumlah balas dendam sebab lama tak makan telur rebus.

           Buka saja pintu rumah, bini aku cakap "abang, ada 'surprise'..." Sambil tersengih-sengih, dia tutup mata aku dan ikat dengan kain hitam dan pimpin aku ke meja makan. Aku pun duduk. Dia siap pesan jangan cuba-cuba nak buka ikatan. Sebenarnya, aku nak ke tandas sebab perut mula buat hal, tapi malas nak spoilkan 'surprise' bini, aku pun tahan dulu.

             Tetiba, telefon bini aku berbunyi. Dia angkat dan pergi jauh dari meja. Aku agaklah, sampai ke dapur dia pergi.

            Peluang ni! Aku pun kentut sebab dah dari tadi aku tahan. Bau boleh tahan tungkiknya sebab makan banyak telur. Ok, lagi sekali, aku pun angkat sebelah punggung dan lepas lagi satu das! PRUUUUUUTTTTTTTT! Bau memang masyuuukkkkk, aku pun tak tahan! Lama pula bini aku ni. Nak tau surprise dia, aku tunggu sajalah. BTapi, aku rasa nak kentut lagi. Aku bangun, tonggeng dan PROOOOTTTTTTT!!.. Fuhhhh lega. Bau macam bangkai! Dekat 2-3 minit, baru bau hilang.

            Lepas tu, bini aku datang dan cakap minta maaf sebab lambat. Dia pun jerit 'SURPRISE!! HAPPY BIRTHDAY ABANG!!' Lupa pula hari ni birthday aku. Dia suruh aku buka kain penutup mata, aku buka. Mulut aku terus terlopong...

ALAMAK!!! Aku tengok merah padam muka bapa dan mak mertua aku, adik-adik ipar aku, duduk keliling meja makan. Bos dan jiran sebelah rumah aku pun ada?! Aku nak cover malu, aku pun tanya lah bapa mertua aku, "dah lama ke bapak sampai?" Selamba saja bapa mertua aku jawab, "dah lama, sebelum kentut pertama lagi!!"
Baca yang ini, boleh hilang stress!!!!
Sumber : Laman Facebook Zamri ZH

Cik Emon : Al-mengekek lah cik Emon lepas baca post ni di FB. Kalau terkena kat batang hidung cik Emon sendiri, entahlah di mana nak letak muka ni?... Kalau boleh ditanggal, tanggal dah la muka ni, letak dalam peti sejuk... Hehehe...Semoga terhibur...~_~

Jumaat, 19 Julai 2013

Sajak - Anarki Memecah Bentala



Indahnya piagam itu
tersusun rapi dalam bait syahdu
kemas semantiknya
dalam pelukan si tukang catat tua.

Kala piagam itu goyah
direnggut penggoncang durjana
anarki tiba
melirik senyum pada kerikil abadi
berjuntaian lumutnya
menyembah kudrat penghuni semesta.

Merdeka ibarat dicabul
kebebasan sudah tersungkur
etika lenyap entah ke mana
mengembalikan linangan hiba sang pejuang
melihat suramnya keamanan
kala anarki selimut buana
memecah bentala.

 
Nukilan,
Faiz Suhaime
3:59 petang, 26 Julai 2011,
Bernam Jaya.


Cik Emon : Sekadar mengimbau kenangan dalam berkarya... Alhamdulillah, dalam kesempitan masa praktikum, masih terluang juga waktu untuk menitiskan tinta maya ini. Karya ini berjaya menembusi ruangan komputer riba cik Emon buat pertama kalinya dalam majalah Tunas Cipta keluaran November 2011. Alhamdulillah...~

Khamis, 18 Julai 2013

Kisah Doraemon


Hah, kali ini, cik Emon nak cerita sedikit tentang sejarah asal-usul Doraemon. Walaupun sekadar anime, tetapi, di sebalik pengkaryaan anime ini, pencipta asalnya iaitu Fujiko dan temannya, Motoo Ajimoko, telah melatarkan asal-usul Doraemon secara lengkap dan menyeluruh.


Fujiko Fujio

Ayuh, kita selongkar beberapa perkara mengenai identiti Doraemon.

1. Apa maksud nama Doraemon?
- Nama Doraemon sebenarnya dicipta sempena dua patah perkataan iaitu Dora dan Emon. Dora ialah istilah untuk kucing jalanan yang liar, manakala Emon pula ialah kata ganti nama untuk haiwan jantan dalam bahasa Jepun. Jadi, maksud nama Doraemon ialah 'kucing jantan jalanan yang liar'!

Cik Emon : Nama cik Emon tiada kaitan dengan haiwan jantan, ya. Cuma, cik Emon sangat meminati anime Doraemon ini sejak kecil lagi. Tak salah kan jika cik Emon ambil sepatah kata untuk meraikan kartun pilihan hati?... Hehehe...

2. Bila tarikh lahir Doraemon?
- Doraemon dilahirkan pada 3 September 2112 iaitu tarikh Doraemon dihasilkan.

Cik Emon : Wah, pemikiran pencipta anime ini sangat jauh ke hadapan! Tahun ini baru tahun 2013, masih ada 99 tahun lagi nak sampai tarikh lahirnya. Namun, yang hebatnya, anime ini telah dihasilkan pada tahun Disember 1969, 44 tahun ke belakang. Hebatnya...

3. Doraemon mempunyai kod pengeluaran?
- Ya! Doraemon memiliki kod pengeluaran iaitu MS-903. Ini adalah nama asli Doraemon sebagai robot. Dengan nama inilah, ia dipanggil oleh pemilik kilang robot di mana ia dicipta.

Cik Emon : Mungkin MS-903 ni macam ISBN pada belakang buku atau pun macam nombor siri berserta cop SIRIM pada barangan elektrik. Apa pun nombornya, yang penting, penjenamaannya memang laris di pasaran. Hehehe...

4. Apa warna asal Doraemon?
- Warna cat asal Doraemon ialah kuning. Setelah mendapat tahu telinganya digigit tikus, Doraemon dengan perasaan sedih yang teramat sangat, terus menyelinap ke atas menara dan meminum sejenis air ramuan berlabel 'kesedihan'. Ketika Doraemon menangis, warna kuning pada badannya luntur dan suaranya berubah disebabkan oleh ramuan itu.

Cik Emon : Andai kata cik Emon minum air ramuan 'kesedihan' ini, bolehkah cik Emon jadi putih? 

5. Berapa jumlah alat yang ada di dalam poket Doraemon?
- Terdapat lebih kurang 4500 alat telah dikeluarkan dari poket Doraemon termasuklah yang paling terkenal iaitu Doko Demo Doa (Pintu ke mana saja), Tate Kopta (Alat terbang buluh), dan Time Machine (Mesin masa).

Cik Emon : Daripada tiga alat yang terkenal ini, cik Emon sangat suka dengan Mesin Masa. Tahu, sebab apa? Sebabnya, kita boleh tengok apa terjadi sebelum dan selepas sesuatu masa mengikut putaran masa yang kita sendiri tetapkan! Sehinggakan idea kisah Mesin Masa ini terbawa-bawa dalam penulisan skrip cik Emon untuk pementasan Teater Kanak-kanak di maktab dulu. Tajuknya : Mesin. Respons penonton sangat menggalakkan sehingga ada yang request untuk pementasan semula dan pementasan jemputan di luar kampus. Hehehehe...

6. Doraemon ada nombor ajaib?
- 1293!!! Doraemon memiliki berat 129.3 kg. Tingginya pula 129.3 cm. Boleh berlari sehingga 129.3 km/jam ketika dalam ketakutan disunat. Boleh melompat setinggi 129.3 cm ketika diancam bahaya. Lingkar pergelangan tangannya berukuran 129.3 mm, kakinya berdiameter 129.3 mm, dan diciptakan pada 3/9/2112.

Cik Emon : Nombor ajaib ini direka khas untuk Doraemon, ya. Bukan nombor ekor di Magnum, Sport Toto, dan yang sewaktu dengannya.

7. Di mana butang on/off Doraemon?
- Pada bahagian ekornya yang berbentuk bulat dan berwarna merah.

Cik Emon : Huhu.... Ada juga butang on/off nya... Bolehlah Nobita off kan Doraemon bila nak gunakan alat Doraemon...Hihihi...

8. Kenapa Doraemon dan Dorami dikatakan adik-beradik?
- Kerana kedua-duanya berasal dari tangki minyak yang sama, tetapi, Doraemon dihasilkan dua tahun lebih awal.

Cik Emon : Kiranya, bolehlah panggil Doraemon dengan gelaran 'Abang Doraemon' atau 'Abang Emon' pun boleh. Hihihihi...

9. Doraemon pernah bersekolah?
- Pernah, di sekolah yang namanya Sekolah Robot.

Cik Emon : Sekolah Robot ni mungkin dipenuhi dengar robot yang segala macam bentuk dan fungsinya. Guru Besar robot, cikgu robot, mak cik kantin robot, mak cik cleaner robot, dan tukang kebun robot.

10. Bagaimana prestasi Doraemon di sekolah?
- Prestasi yang buruk sehingga tiada sesiapa yang berminat mengambilnya sebagai teman sehinggalah Sewaichi (cicit Nobita) sangat menyukai Doraemon dan menghantarnya kepada Nobita untuk menjaganya.

Cik Emon : Kalau suruh cik Emon jaga, cik Emon nak bawa Doraemon ni ke sekolah. Jadi bahan bantu mengajar. Mesti efektif! Hahahhaha...


Sumber : http://cecetececete.blogspot.com/2013/04/kisah-doraemon.html 


SEKILAS DALAM MEMORI


 Dorayaki ialah makanan kegemaran Doraemon.


 Doraemon pun memiliki blog juga. Sama macam cik Emon. Hehehe...


 Jom mengembara dengan Mesin Masa.


Kamar impian cik Emon.


 Pintu ke mana saja milik Doraemon.


 Bentuk Mesin Masa yang diilhamkan oleh cik Emon dan kawan-kawan.


 Kelihatan cik Emon sedang diperkenalkan oleh pengacara majlis sebagai salah seorang penulis skrip merangkap robot galaksi.


Warga Galaksi Dayasari yang membintangi Pementasan Teater Kanak-kanak : Mesin di bawah bimbingan Puan Kamaliah binti Siraj, pensyarah IPG KBM, KL.


Gambar kenangan warga Galaksi Dayasari bersama krew pada malam pementasan.



 P/s : Sekadar perkongsian dengan warga pembaca sekalian. Cik Emon hanya suka untuk berkongsi. Tontonilah tayangan Doraemon, pada hari Sabtu, jam 7.30 malam di NTV7.

Ahad, 14 Julai 2013

Sajak - Perjalanan yang Tertulis

Di desa permai ini,
tertulis suratan buat hamba
berpijak dan bertatih
berjalan dan berlari
menuju entah ke destinasi mana
dengan penuh yakin.

Desa ini mengajar hamba makna hidup
dengan esak tangis
memerah segala keringat
demi kenyangnya isi rumah
anak-anak yang masih di buaian.

Hambalah anak kecil itu
punya usia belum sepurnama
lahir dalam bening pagi
raung entah berapa lama
meledak dalam telinga bonda dan ayahanda
menanti kucupan sekuntum dua.

Kuintai relung padi ayahanda
dengan banting tulangnya
disogok bonda dengan juadah
di wakaf penantian
sambil mengelus rezeki
mengharapkan secupak dua bertambah
di hari muka.

Saat bocah hamba tiba
bergeming nanar menghilai tawa
bermain bersama saing-saing desa
dalam layar tanpa masalah
sebuah kehidupan anak kecil
seperti hamba.

Sang kuda berlari pantas
ibarat diri hamba yang membesar sekilat lajunya
hamba mengatur hidup
dengan aksara ilmu sebakul dua
dengan adab santun segantang cuma
mencari sinar keemasan
kala padi lagi menguning
menyembah ayahanda untuk membanting
sambil bonda mengerling
mengharap tuaian bertambah lagi
meruah dalam rangkiang usangnya.

Kala berdiri hamba kini
menjulang sepotong janji lama
yang cukup panjang penantiannya
dari ayahanda dan bonda miliki usia muda
sehingga senja arah usia
janji hamba dilunaskan
sempat sekali cuma
merasa titik peluh hamba yang sasa
sebelum nafas dihela
menuju Syurga.

Buat ayahanda dan bonda di Syurga
inilah perjalanan yang tercipta
takdir buat kita
yang hanya murba di mata-Nya
sehingga tiada apa yang mahal
melainkan nikmat dari-Nya
sebelum dijemput
tanpa ditunda sesaat dua.



Nukilan ;
Faiz Suhaime
Sarikei
14 Julai 2013

Isnin, 7 Mac 2011

Hati Sering Ditegur...


Pasti kalian pernah berbicara
soal pemberontakan hati di jiwa.

Pasti kalian pernah menuturkan
rasa hati yang mencengkam
seolah-olah tiada nyawa yang berperasaan
merenggut tohmah pada relung batin yang tersimpan.

Bagi hati yang sering ditegur
kembalilah
tiada aksara yang tercatat
melainkan keredhaan yang merelakan
tiada kerlingan yang menghunjam deria matanya
hanya kerana menggamit sejenak
menyusur ke pangkal mafatih insan.

Hati yang senantiasa ditegur
nukillah ibtisam di tubir bibirmu
kala kembangan senyum itu terzahir
sukma pasti mekar
dalam segarnya serambi kesyukuran.

Buat hati yang tegar dengan teguran
mereka sering mengingatkan
bahawa cerucuk batu di hujung dan pangkal
bakal menghadap maharajanya
di balairung seri
setelah titah tuannya bertamu di sisi.

Sesungguhnya
tiada yang malang bagi hati yang sering ditegur
kerana
kasih manusia itu masih tebal berselimut
percaya manusia itu masih sopan merias nurani.

Janganlah bersedih wahai hati
janganlah bersendiri jika ditegur lagi...

Selasa, 1 Mac 2011

Alun Jemari untuk Sebuah Nilai Seni...


Sudah lama jemari ini beralun longlai...
mencoret sebuah karya seni....

Mahu tahu apa seninya???


Hehehehehhee...mungkin tidak seberapa...

Mungkin jua tidak berharga...

Tapi saya suka....

sebabnya.... Alhamdulillah, semuanya hasil jemari ini...

jemari kurniaan Ilahi....


Untuk kalian???
Untuk kalian, apa yaaa???...

Kalian fikirlah...

Fikir mencari kebolehan diri...

Kalian jua punya nilai tak bertepi...

Kerana Allah itu sempurna lagi Maha Tinggi...



Kalian,
Belajarlah menghargai ciptaan Ilahi....

Kerana apa???

Kerana yang cerdik pandai itu dikurniakan akal fikiran

Yang pantas cergas itu dikurniakan kemahiran bersukan

Yang petah bertutur itu dikurniakan kefasihan

Yang anggun itu dikurniakan kecantikan

Yang menulis itu dikurniakan ilham berpanjangan

Yang santun itu dikurniakan nilai kehormatan

Yang bertakhta itu dikurniakan kuasa dan kepemimpinan

Yang berada itu dikurniakan nikmat dan kesenangan

Yang merdu itu dikurniakan irama kesyahduan

Yang tulus itu dikurniakan rasa kesyukuran dengan segala kurniaan.


Perlu diingat,
Mahu ingat apa????


Ingat,
bahawa yang jahil itu bukannya kebodohan,

tetapi merendahkan diri elak kebanggaan.

Yang kelihatan lemah itu bukannya murung ketakutan,

tetapi leka mentafsir dan merenung ciptaan Tuhan.

Yang gagap itu bukannya kekeluan,

tetapi berdiam kerana enggan menjual kehormatan Din kesayangan.

Yang hodoh itu bukannya menafikan kenikmatan,

tetapi takut diseksa kerana lakukan pengubahsuaian.
Yang disleksi itu bukannya malas berusaha,

tetapi takdir melebihkan keistimewaan.

Yang kasar itu bukannya biadab,

tetapi peringatan bahawa manusia di bawah bukan hamparan penindasan.

Yang menjadi hamba bukannya untuk dagangan,

tetapi menjadi mangsa serakahnya kebinatangan.

Yang papa bukannya belas kemelaratan,

tetapi jelas pabila rakyat dimelaratkan.
Yang sumbang pula malu untuk bergurau canda,

sedangkan suara itu kurniaan sementara.

Dan yang sangat memalukan,

pabila segala-galanya semakin menjauhi ketulusan...

mendekati sebuah keterpaksaan..

Di sini alunan jemari untuk sebuah nilai seni

sudah tidak lagi bererti
dan hampir mati...

MATA



Wahai mata
izinkan aku memandangnya
seluas saujana terdampar
kelibat malam terbentang
panorama alam hutan menghijau
membugarkan bola pancarku
seadanya.

Wahai mata
izinkan aku menatapnya
bebas sang unggas mengepak riang
warga mergastua berkicauan
berdondang seiring cengkerik emas
hanya bersahaja cuma.

Wahai mata
izinkan aku merenungnya
betapa nikmat silauan mentari di ufuk
betapa rahmat sinaran rembulan di malam zulmat
sambil meratib tasbih kebesaran.

Aduhai mata
izinkan aku menjelingnya
keletah manusia punya jiwa
tika meruntun kata, mengurai mesra
kala mataku liar menerjah semesta.


26 Feb 2011
Memori
Kumpulan GAPURA
[ Faiz, Din, Bilah, Wani, Titak, Dayah, Zila, Ainul, Suri ]
Kem Bina Semangat Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu

P/S : Andai mata ingin menangis, izinkanlah... Itulah satu kepuasan bagi mata...

SEPAGI BERSAMA....



Hahahahahahaa.... hilai tawaku panjang
Dengan liar mengerling sekeliling
Panorama malam pekat sudah jelas tampaknya di luar jendela
Aku dan mereka masih bertenggek di sisi kabinet kayu
dengan riang membalas bicara masing-masing...

Hahahahahhahahaaa.... hilaian yang semakin panjang
Tiada siapa yang menghalang
Tiada siapa jua yang menentang

Hahahahahhaaaa.... kami semakin bermaharaja lela
Puas dengan gosip sendiri
Muak dengan kisah seksi seksa
Jeluak dengan kutuk hina
Tapi kami selesa dengan cerita sendiri
Berkongsi seadanya
Selagi masih ada waktu bersisa...

Sebelum mata tertutup rapi....
Sekali lagi hilai menjelma
Hahahahahahahaaaa.....
Mengusik dan merenggut tiap nadi yang bersuara
Biar pun pagi sudah lama bertandang
Sehingga rapat mata meninggalkan zulmatnya malam...

Khamis, 24 Februari 2011

Ku Intai Kembali Tirai Sanggar Usang...

Selamat bersua kembali...


Lama kiranya jemari ini tidak bertinta maya
Mencoret ceritera hati yang terbungkam sepi
Mungkin waktu tak mengizinkan aku bersua
Atau hati tak membenarkan ianya terjadi...

Tapi hari ini,
Aku kembali ke sanggar ini
Kembali ingin mencoret kisah suka duka bersama temanan di sini
Mengintai tirai carik berhabuk
Mungkin hanya sekadar perkongsian
Atau bacaan santai cuma...

Inilah aku
Yang dulunya lahir sebagai aku
Bertukar pendirian dan pemikiran menjadi aku
Dan kiri masih mencari hala tuju
Kerana aku belum sahih lagi
Mengenal siapakah aku...

Yang pasti aku hanya murba
Kerdil mentafsir
Jahil mentaswir...

Isnin, 25 Januari 2010

Assalamu'alaikum...

Cuma sekadar hendak berkongsi maklumat. Seorang sahabat saya telah menghantar 1 mesej pemberitahuan mengenai 1 lagi dakyah yahudi laknatullah... minta perhatian dan tolong sebarkan...

"PENTING!!!Mohon agar pesan ini dapat
disebarkan kepada seluruh Saudaramu
seiman !!! Jika tidak...maka seluruh
Muslim di dunia bisa saja mendapatkan
informasi yang salah dan keliru tentang
Islam, untuk itu dimohon agar dapat
menyebarkan pesan ini segera setelah
membacanya. Waspadalah terhadap website
di bawah ini kerana ia adalah dakyah
orang kristian mempersoalkan kebenaran
al-Quran, Hadith dan Islam....

> > > 1. http://www.answering-islam.org.....
> > > 2. http://www.aboutislam.com...............
> > > 3. http://www.thequran.com...............
> > > 4. http://www.allahassurance.com...........

Laman-laman tersebut telah sengaja dibuat oleh kaum Yahudi yang sentiasa cuba, tanpa rasa jemu dan lelah untuk menyesatkan semua orang Islam di dunia ini."

Semoga kita akan sentiasa terpelihara daripada terlibat atau terpengaruh dengan usaha-usaha keji mereka ini. Sama-samalah kita mohon petunjuk daripada-Nya agar sentiasa berada di dalam cahaya keimanan. Insya Allah....

Wallahualam...


Kepada teman budiman...
Inilah antara tusukan halus dakyah Kristian yang secara peribadinya mengatur strategi yang sukar dikenalpasti oleh umat Islam sendiri...

Oleh itu, berwaspadalah.. Moga-moga tiap langkah perjalanan hidup kita tidak dibayangi dengan percaturan amalan jahiliyah penganut Kristian.

Dipetik dari :
http://www.friendster.com/group-discussion/index.php?t=msg&th=3366686&start=0&

Isnin, 28 Disember 2009

SURAT DARI HAWA...



Teman-teman,
Satu hari, aku menerima satu e-mail dari salah seorang temanku mengenai kekesalannya terhadap sikap kaum Adam. Benarkah segala telahannya itu??? Bacalah warkah yang dikirimnya. Kemudian, fikir-fikirkanlah...


Assalamualaikum..

Maaf kupohon darimu, duhai adam…, seandainya bait bicara ini bisa mengguris parah tangkai hatimu dan membenamkan luka yang dalam. Telah lama aku mencari kekuatan, untukku laungkan getaran di jiwa yang makin mencengkam, segalanya kerana rindukan berkibarnya syiar islam, di Bumi yang kian gersang ini….

Adam,
Sukarnya untukku lafazkan kecewa di hati ini, bila saban hari ku terpaksa berhadapan dengan kaummu yang sekadar tertunduk malu, sedang deretan dosa dan noda melingkari ruangan alam…. Melakar titisan hitam, keji, tanpa alasan…. Kenapa Adam, kau membisu??? Sedangkan kekuatan padu di tanganmu, sekadar membisu, masa terus berlalu….

Adam,
Tersangat pilu hatiku, bila melihat kaummu, menghapuskan hijab antara kita…pandanganmu kau tebarkan ke serata ruangan, tiada lagi halangan…. Hawa jadi perhatian, hingga mahu rasanya ku persembahkan pada kalian, perlembagaan yang jadi pegangan umat Islam, "Al-Quran"…. Bukankah jelas dinyatakan, kita punyai batasan, tak bisa dirobohkan, segalanya tuntutan…, dan kalianlah yang harus tegakkan, dalam kecetekan akal fikiran umat zaman ini!!!

Adam,
Bukan niatku untuk membelakangkanmu, malah kutahu, kau lebih berkuasa daripadaku, yang cukup lemah dan kerdil ini…tapi, ku tak mampu, Adam…. Menyimpan lahar yang kian bergelegak ini…, dan jiwaku meronta sayu, kekuatanku terbatas, Adam!!! Suara hatiku tenggelam…, segalanya membeku sehingga peritnya kutahan, dalam dakapan duka, menanti terbangunnya kegemilangan Islam….

Adam,
Ku tak mampu lagi menahan tangis ini. Hiba bila mengenangkan sikapmu, ego kau julang, kau biarkan ku merintih dalam sendu menahan pedih…. Pernah dan sering kuluahkan. Kau harus bangkit dan cipta perubahan…. Kau mampu, Adam!!! Kerna, bukan lemah yang terbenam dalam dirimu, tapi kemahuan yang tak kau gilap!!! Sesekali aku bangga, Adam…. Kau memang insan gemilang, ilmumu tak terbilang, tapi kemana hilangnya kewajipanmu yang harus kau kendong untuk memimpinku ke jalan kebenaran???!!!

Adam,
Sekali lagi kupohon pengertianmu, bukan kebahagiaan zahir yang ku harapkan…, bukan jua kebebasan pergaulan kita yang jadi impian, hancurkanlah segalanya itu…. Kubenar-benar mengharapkan kau bangkit membela maruah agama kita…. Bentukkan kembali hati-hati yang mengagungkan kebesarannya, laksanakan perintah-Nya dan seterusnya, biah solehah mengharumi dunia….

Adam,
Bicara ini harus kuhentikan jua…. Namun, kemaafan tetap ku hulur dan mengharapkan penerimaan. Walau ku tahu, ada hati yang bakal menyimpan dendam, ada jiwa yang bergetar menahan kemarahan, namun, biarlah…. Aku redha dan kupasti dengan ketulusan niatku tanpa ada karat mazmumah dan muslihat yang tersimpan….

Bangkitlah adam!!!
Teruskan bina kekuatan……
Bimbinglah kaumku yang merindukan kemantapan iman…
Bukan sekadar impian….
Kebahagiaan dunia yang tak kesudahan…
Kita bertemu DI SANA ….
NEGERI KEKAL ABADI.
InsyaAllah…
Sekian….

Ikhlas dari Hawa.. :)

Rabu, 23 Disember 2009

KEJADIAN ANEH...

Salam sejahtera,

Setakat ini, dalam hidup aku, ada dua kejadian yang benar-benar memberi impak kepada diri. Kejadian-kejadian ini agak aneh dan ganjil sekali. Aku tak pasti apa maksud tersirat kejadian-kejadian ni. Namun, setelah bertanyakan kepada pihak tertentu, aku yakin bahawa kejadian ini adalah suatu peringatan kepada aku yang sering leka dan alpa. Aku harap kejadian ni memberikan peringatan juga buat teman-teman yang berkesempatan menjengah laman ini.

Kejadian pertama, melihat ilusi diriku disebat.

Kejadian ini berlaku ketika aku form 5. Disebabkan aku sekolah agama, tiap waktu aku solat berjemaah. Jadi, waktu form 5 tu, aku jadi cam alim sikit la. Tahun nak exam la katakan. Nak jadikan cerita, satu petang, waktu lepas aku solat Asar, macam biasa aku berdoa mengikut imam. Waktu tu la aku terlihat ilusi diriku disebat. Ilusi itu kelihatan pada kedua-dua tapak tangan aku. Aku jadi sebak, lantas menitiskan air mata. Aku menjangkakan bahawa kejadian itu berlaku pada waktu itu sahaja, namun, telahanku meleset.

Kejadian tersebut berulang ketika aku berdoa selepas solat Maghrib pada hari yang sama. Ilusi yang sama yang kulihat. Namun, Alhamdulillah, kejadian itu tidak melarat sehingga ke hari-hari berikutnya. Aku mula bertelaku memikirkan dosa-dosaku memandangkan sikapku dengan rakan-rakan serta guru-guru mahupun keluarga bukannya sempurna sangat. Biasalah, anak remaja, banyak yang nak ikut citarasa hati sendiri.

Tambah pula, sikapku yang suka membangkang dan degil mungkin menambahkan lagi dosaku pada insan di sekelilingku. Pada rakan, mungkin banyak yang buatkan diorang tak selesa. Rasa marah, rasa benci, tak puas hati, menyampah, dan mungkin merasakan aku ni duri dalam daging. Pada guru, ada saja hal yang aku tak setuju dengan tugasan mahupun peraturan di asrama dan sekolah. Mungkin ada yang terasa hati dengan tiap kata aku yang sering berada di persimpangan jalan. Antara guru dan pelajar. Dan mungkin juga antara hidup dan mati. Antara patuh dan benci. Pada keluarga, mungkin banyak yang aku sakitkan hati dengan teguran, gurauan dan sindiran sinis ketika berbicara. Namun, inilah hakikat hidup, yang memungkinkan seribu satu kisah itu bermula. Itulah konklusi yang dapat aku ungkaikan. Salah dan silap, kupohon agar dimaafi.

Mimpi yang kedua, bermimpi aku siap untuk dimandikan.

Bermulanya kisah mimpiku, aku terjaga dari lena. Dengan perasaan kaget, aku sudah berada di atas katil jenazah dalam keadaan sedia untuk diangkat dan dimandikan. Aku melihat insan-insan di sekelilingku berada dalam keadaan kelam-kabut menyediakan pelbagai kelengkapan untuk memandikanku. Di sisiku terdapat beberapa orang yang setia membacakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai sedekah kepada jenazahku. Aku memanggil insan-insan di sekelilingku dengan penuh pengharapan agar ada insan yang mendengar jeritanku ini. Ternyata, tindakanku hanya sia-sia. Tiada sesiapa pun yang mendengar jeritan mahupun esakan tangisku. Tambahan pula, aku tidak mampu untuk bergerak walaupun seinci. Aku terus mengerang mengenangkan kekesalanku selama ini.
Setelah semuanya selesai tersedia, aku dibawa ke bilik air untuk dimandikan. Aku berasa sangat tidak selesa kerana aku yakin bahawa aku masih hidup, tetapi entah kenapa manusia tidak mendengar jeritanku. Dengan linangan air mata yang terembes, aku segera membuka mata, ternyata aku bermimpi. Tetapi mimpiku ini menjadikan aku lebih risau dengan tiap tingkah dan tuturku. Takut-takut ada pula dosa yang ‘tertambah’. Aku tidak boleh melelapkan mata sehingga pagi memikirkan hal-hal yang berlalu. Apakah aku sudah hampir menemui ajalku? Adakah ini petanda bahawa umurku sudah berada di penghujung waktu? Apakah ini kisah alam ghaib yang ingin membawaku pulang menghadap Rabb? Dan apakah mimpi ini akan dilalui setiap insan yang bakal dijemput malaikat Izrail? Aku jadi bingung…

Untuk malam berikutnya, aku tidak dapat melelapkan mata. Aku masih tidak puas hati dengan perasaanku sendiri. Aku segera mencapai telefon bimbitku mendapatkan sahabat baikku dari pantai Timur. Kuujarkan permasalahan yang menghantui fikiranku. Aku menerima pesanan ringkasnya pada keesokan hari dengan maksud mimpi yang tersirat. Tetapi, nasihatnya agar aku lebih mendekati Allah supaya diriku lebih tenang menempuh hari muka. Buat teman-teman, cuba bayangkan jika kejadian-kejadian ini berlaku ke atas diri anda. Adakah fikiran anda sama dengan fikiran saya? Fikir-fikirkan…
Kedua-dua mimpi yang saya alami benar-benar menakutkan. Mimpi yang saya alami adalah benar dan ini mengingatkan saya tentang perkara-perkara berikut. Sama-samalah kita membaca dan mengingatinya serta menginsafi diri :

22 Tanda Kiamat Semakin Hampir :

1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui internet, iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena homoseksual, lelaki berkahwin dengan lelaki (gay) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

Wallahualam.

Sekian.

Ahad, 15 November 2009

Khasiat Kentut





WASHINGTON : Ia mungkin melucukan dan dianggap tidak masuk akal tetapi pegawai kesihatan persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka segera mengeluarkan laporan yang memberi amaran kepada umum mengenai faedah kentut.

“Kentut, jika kerap dihidu boleh menyembuhkan pelbagai penyakit berbahaya seperti sakit kepala, gangguan pada mata, emfisema, lelah, bronkitis, sakit jantung dan lain lain."

“Setiap tahun, kira-kira 130,000 rakyat AS telah pulih daripada pelbagai penyakit disebabkan menghidu kentut dan ramai lagi berasa lega daripada penyakit serius kerana terlalu lama terdedah kepada keadaan itu,” kata seorang doktor yang bertugas dengan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS.

Katanya, orang ramai mesti menyedari menghidu kentut sebenarnya menambah khasiat untuk kesihatan orang lain. Menurut laporan yang akan dikeluarkan CDC, setiap tahun kentut memulihkan 800 kes serangan jantung, 250 kes angin ahmar,30000 lelah dan 50000 kes sakit telinga. Disebabkan masalah makanan tidak teratur, kini ramai rakyat Amerika menghidap kembung perut. Menurut laporan itu, purata penduduk AS kentut 14 hingga 23 kali sehari.

Pengajarannya :

* Kentutlah merata-rata tempat, ingatlah orang-orang yang tersayang!! Tapi, INGAT, jgn kentut dekat aku, sebab aku lebih rela sakit dari hidu kentut korang...nonsense...huhu...

Rahsia Melalui Tulisan




KENALI DIRI ANDA MELALUI TULISAN...


Pertama : Tekanan


i. Tekanan yang kuat
Seseorang yang menulis dengan kuat tekanannya sehingga berbekas di bahagian belakang kertas.
· Sihat, cergas, pantas dan sedikit agresif

ii. Tekanan yang ringan
Seseorang yang menulis dengan lembut dan ringan dan tidak berbekas.
· Kurang bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit

Kedua : Bentuk Tulisan

i. Tulisan yang bulat-bulat
Semua huruf ditulis dengan bulat
· Emosional, prihatin, pengasih penyayang, kepekaan tinggi dan banyak memakai otak di sebelah kanan (otak kreatif)

ii. Tulisan yang tajam-tajam atau leper-leper
Tulisan yang angular dan sharp
· Rasional, berkerja dgn sistematik, pandai mengurus dan banyak memakai otak di sebelah kiri (otak logical)

Ketiga : Kecondongan

i. Condong ke kanan
· Extrovert, suka bercerita, berkongsi maklumat dgn orang lain, peramah, suka campur orang, mudah memimpin, mudah menunjukkan kasih
sayang, berani, pemurah

ii. Condong ke kiri
· Introvert, suka menyimpan rahsia, agak pemalu, tak suka berubah, amat setia kepada kekasih, keluarga, organisasi dan negara tetapi tak suka
campur orang

iii. Tegak
· Systematic, mudah kawal diri, suka berkawan tetapi tak cari kawan sebaliknya kawan cari dia, tak suka gaduh-gaduh, suka ambil jalan
tengah

iv. Campur-campur
· Emosi tak tetap macam remaja yang belum cukup umur atau macam orang perempuan datang bulan (maaf)

Keempat : Kerapatan

i. Jarang-jarang
· Tak suka campur orang, kurang mesra dan sedikit boros.

ii. Rapat-rapat
· Suka campur orang, amat bergantung kepada orang lain, jimat atau kedekut

Kelima : Pada huruf J, G, Y, Z

i. Ada ekor
a) Besar, panjang dan sempurna
· Tahap emosi yang dipamer itu jelas, pengasih & penyayang, pemurah, mudah kesian pada orang, mempamerkan tahap kerajinan

b) Kecil, pendek dan tak sempurna
· Tak pandai mempamerkan emosi, kurang rajin, tak pandai mempamerkan kasih sayang walaupun sayang itu banyak dalam diri

Keenam : Pada palang huruf kecil T (t)


i. Tinggi
· Tahap aspirasi tinggi

ii. Rendah
· Mudah berpuas hati, cita-cita rendah

iii. Tengah-tengah
· Usaha dan tahap pencapaian itu di tahap sederhana

Rumusan : -


Tulisan mencerminkan peribadi… Kita boleh menukar tulisan kita untuk mengubah peribadi dan Personaliti kita dengan sengaja supaya kita cemerlang dalam hidup…




Ni la gambo Adik Aiman, adik pada kawan aku, Hafizi waktu menulis lagu dikir barat "Wau Bulan"...

P/s : Ini hanyalah simbol kebiasaan. Namun, jangan jadikannya sebagai kepercayaan yang boleh mendatangkan khurafat serta syirik.

Sumber : http://www.fadzilahkamsah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=48&Itemid=50

Soalan Cepu Emas...Kenapa MELAYU Gagal???

Kenapa sejak dahulu sehingga ke hari ini orang Melayu sukar untuk maju di negara sendiri?

….. dan kenapa orang-orang Melayu tidak boleh berfikir seperti bangsa Cina yang boleh bersatu walaupun berlainan fahaman politik dan boleh mengutamakan kepentingan bangsa lebih dari diri sendiri sehingga memungkinkan mereka berjaya walau di mana sahaja mereka berada walaupun di negara asing?

Jawapan-jawapan untuk pilihan anda:

(A) Kerana sikap orang itu sendiri yang malas berusaha, tidak mahu bersusah-payah dan mudah merasa selesa dengan apa yang ada. Sikap ketuanan dan bangga kedudukan masih menebal hingga menutup pemikiran.

(B) Orang Melayu telah ditanam dengan pemikiran penjajah - ‘makan gaji’ yang menjanjikan kehidupan terjamin tanpa perlu berusaha. Berniaga tiada dalam kamus kehidupan kerana penuh berisiko, tiada pengalaman dan tidak tahu (mahu) belajar berniaga. Survival masa depan Melayu adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata.

(C) Budaya subsidi dalam kalangan Melayu yang sentiasa mengharapkan pertolongan kerajaan - tiada tanah, tak boleh bertani, tiada pinjaman, tidak boleh berniaga, tiada biasiswa, tidak boleh belajar. Pendek kata kerajaan perlu menyediakan segala kemudahan terlebih dahulu dengan harapan orang-orang Melayu boleh maju(?)

(D) Orang-orang Melayu malas mencari ilmu membaca dan belajar untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran agar dapat berdaya saing dengan bangsa lain.

(E) Orang-orang Melayu takut mengambil risiko (dengan seribu satu alasan) terutama sekali dalam bidang perniagaan akhirnya kekal sebagai bangsa yang mengharap bangsa lain untuk hidup di negara sendiri dari memohon pekerjaan sehinggalah kepada membeli keperluan dapur.

(F) Sikap tamak haloba mementingkan diri dan berhasad dengki dalam kalangan orang-orang Melayu sendiri. Prinsip kepentingan diri lebih penting dari kepentingan bangsa menjadi pegangan.

(G) Orang-orang Melayu yang diberi amanah oleh peminpin dan kerajaan untuk membantu bangsa lebih suka membantu diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu. Survival politik diri sendiri lebih penting dari survival politik bangsa.

(H) Orang-orang Melayu sememangnya sudah ditakdirkan tidak boleh maju. Realitinya berbanding dengan bangsa-bangsa di merata dunia sehingga ke benua Afrika, kebanyakan bangsa Melayu hidup melarat atau cukup makan sahaja dan kekurangan dari segala segi ilmu ekonomi, teknologi malahan pemikiran. Orang-orang Melayu Malaysia apa bezanya?.

(I) Dalam sektor perniagaan yang penting kebanyakan orang-orang Melayu kurang ilmu- pengurusan perniagaan, kewangan, pemasaran. Sikap dah merasa diri cukup pandai, tidak perlu menambah ilmu dan malas membaca/belajar menambah parah keadaan ekonomi bangsa.

(J) Sikap kebanyakan orang-orang Melayu sanggup berbelanja ratusan hingga ribuan ringgit untuk perkara-perkara yang menghiburkan walaupun pendapatan terhad- makan di tempat mahal, membeli pakaian yang mahal, pergi melancong, menukar kereta (menambah hutang) tetapi tidak bersedia untuk menabung atau melabur untuk masa depan seperti membeli insurans kesihatan, pendidikan dan menambah ilmu dan jauh sekali membuat amal jariah membangunkan bangsa dan agama (walaupun harta dan simpanan mencecah ratusan ribu hingga jutaan ringgit).

(J) Perkataan ‘melayu’ itu sendiri yang membuatkan bangsa Melayu ‘menjadi layu / melayu’ di negara sendiri?



Nota: Sepertimana anda, kami di sini juga tidak bersetuju dengan pilihan jawapan-jawapan di atas. Bukan kami hendak memburukkan bangsa sendiri, tetapi inilah realiti yang sedang kita hadapi pada hari ini.

Pujian dan penghargaan kami berikan kepada sebilangan orang-orang Melayu kita yang telah berjaya dalam perniagaan dan kerjaya mereka serta sentiasa berfikir untuk memajukan bangsa. Semoga Allah sentiasa membantu mereka.

Mungkin saudara pembaca juga telah mencapai kejayaan (mengikut ukuran peribadi) dan boleh menyumbang buah fikiran agar dapat memotivasikan minda sahabat-sahabat Melayu kita yang lain.

P/s : Ini bukan suatu kompromi, tetapi suatu hakikat yang menyeru kita supaya lebih bermuhasabah...Maaf atas kekhilafan...

Sumber : http://mindamelayu.wordpress.com/

Sabtu, 14 November 2009

Tika Kita Mula Bersua...

Saudari,
Manis kiranya ada isi yang mampu kuungkapkan,
Ada bicara yang mampu kuluahkan,
Ada kata yang mampu kulontarkan,
Tika kita mula bersua.

Saudari,
Molek kiranya ada cerita yang mampu kucoretkan,
Ada ceritera yang mampu kunukilkan,
Ada buah yang mampu kulakarkan,
Tika kita mula bersua.

Namun saudari,
Tika kita mula bersua,
Tiada apa yang mampu kuungkapkan,
Tiada apa yang mampu kuluahkan, kulontarkan,
Hatta mencoret sedikit ceritera pun tidak mampu kunukilkan.

Aku sedar,
Aku bukan siapa-siapa yang layak melakarkan cinta,
Aku bukan siapa-siapa yang layak mengutip syahdu asmara,
Aku bukan siapa-siapa yang layak menagih kasih,
Apatah lagi mendapatkan tempat di sudut hatimu.

Namun saudari,
Izinkan aku mendekatimu,
Izinkan aku berkongsi kisah denganmu,
Izinkan aku bertukar-tukar idea denganmu,
Izinkan aku membantu sedaya kumampu,
Walau secebis...

Aku akui,
Mungkin aku tak mampu buatkan saudari gembira,
Tak layak untuk temani saudari bila berduka,
Bukan juga sahabat baik untuk berbicara,
Tapi,
Walaupun sekadar biasa
Kebahagiaan saudari, kebahagiaan aku jua.

Sebelum kakiku melangkah pergi, saudari,
Aku ingin berkongsi harap,
Agar tarikh keramat 14 Mac 2009,
Menjadi ingatan,
Yang mana, tarikh itulah,
Kita mula bersua,
Walaupun hanya di corong cuma...

Sejalur Rindu Buat Ayah

Aku duduk terjelepuk di bawah sebatang pohon yang rendang di atas tanah pusara ayahku. Ternyata hati ini tidak mampu menahan kesedihan yang masih berkubu di benakku yang sunyi. Kenangan bersama ayah ketika berkelah di Teluk Batik tidak akan kulupakan.

Ratapan luka hatiku masih belum reda. Namun, disebabkan takdir yang menentukan segalanya, aku akur. Aku pasrah. ”Mungkin Tuhan lebih menyayangi ayahku”, bisikku di dalam hati. Aku cuba membawa rajukku jauh dari pusara ayah kerana kata ibu, tidak elok jika kematian ayah ditangisi. Ibaratnya, kita tidak mampu menerima takdir. Dari nur mata ibu, aku faham perasaannya. Biarpun, riaknya kebal, tapi, aku tahu hatinya masih sedih.

Kotak fikiranku masih berlegar di Teluk Batik. Kisah suka, duka dan lara bersama keluarga ke Teluk Batik terungkai satu persatu. Setelah tiba di Teluk Batik sekitar jam 9.00 pagi, kami sudah tidak sabar lagi ke pesisir pantai untuk menikmati panorama alam, lautan indah yang cukup luas. Dengan pasir pantai yang suci memutih, hijau biru air yang dingin, tidak lupa juga tiupan bayu laut yang nyaman berpuput, jelas membawa kami hanyut dalam keseronokan bermandi-manda. Teluk Batik menjadi saksi. Keakraban kami tujuh beranak tidak dapat dinafikan. ”Pandai ayah mencari tempat untuk kami berkelah”, aku bermonolog sendirian.

Pada mulanya, kami bercadang untuk pulang ke kampung keluarga ibu di Tumpat, Kelantan. Kata nenek, sawah padi kepunyaan datuk masih menghijau. Bermakna, pemandangan sawah padi di petak-petak bendang begitu cantik. Tambahan pula, telatah lucu nenek yang suka melatah sambil memakan sirih membuatkan semangatku semakin membuak-buak untuk pulang ke kampung. Namun, apakan daya. Permohonan cuti ayah tidak diluluskan. Jadi, kami terpaksa membatalkan hajat untuk pulang ke kampung. Lalu, ayah mengambil keputusan untuk membawa kami sekeluarga berkelah di Teluk Batik.

Keindahan alam yang terbentang luas mengkagumkan aku. Kelihatan hidupan-hidupan laut yang kecil melewati pesisir pantai tatkala badai ombak menghempas pantai, pecah berderai menjadi buih. Sungguh mengkagumkan. Sementara kami masih mandi di pesisir pantai, ibu sibuk menghidang makanan yang dibawa. Cuaca di Teluk Batik itu juga agak nyaman dan cahaya matahari tidak terlalu terik. Nasib baiklah, cuaca pada hari itu baik. Kalau tidak, tentu ibu akan berasa risau dan susah hati. Mana tidaknya, pertama, adik bongsuku, Farehah masih berumur satu tahun dan tidak selesa berada dalam keadaan yang panas. Kedua, mengelakkan daripada berlakunya ’kulit terbakar’ apabila berjemur terlalu lama di bawah cahaya matahari.

Apabila makanan siap tersedia, ibu memanggil aku, ayah dan adik beradikku yang lain makan bersama-sama. Kami segera bergerak ke arah ibu untuk menjamah sedikit juadah yang tersedia. Belum sempat kami menjamah makanan, tiba-tiba ayahku bagaikan terputus nyawa. Pergerakan tangannya lemah. Nafasnya terputus-putus dan tercungap-cungap bagai nyawa-nyawa ikan. Ditekup tangannya rapat pada dada kanannya dan ditekan kuat menahan kesakitan. Kami mula panik. Ibu sudah mulai resah. Aku tahu ibu risau. Kepala ayah ditatang rapi atas ribaannya. Matanya merah. Sebutir demi sebutir air mata ibu jatuh bagaikan intan ke pipi gebunya. Aku juga tidak dapat menahan sebak. Abangku mula mempraktikkan ilmu bantuan kecemasan yang dipelajarinya sewaktu perkhemahan Bulan Sabit Merah kepada ayah, sementara aku bergegas mendapatkan bantuan daripada pihak restoran berdekatan untuk dibawa ke hospital. Adik-beradikku yang lain hanya membatu takut.

Setibanya kami di hospital, ayah segera dimasukkan ke dalam wad ICU. Aku dan ahli keluarga yang lain masih dalam keresahan terutamanya kami, adik-beradik. Wajah ibu nampak tenang walaupun jujuran airmata tetap mengalir basah. Suasana di hospital agak muram. Tiga jam kemudian, doktor keluar dari ruangan pembedahan. Keputusan yang tidak dapat kuterima, diujar doktor. Ayahku tidak dapat diselamatkan lagi. Bagaikan mimpi ngeri, aku mula berasa tidak percaya. Tapi, apakan daya. Ajal dan maut di tangan Tuhan. Pemergian ayahku menjadi nostalgia sepi bersama kenangan kami di Teluk Batik.

Tidak semena-mena, ”Paeh, Paeh, bangun! Dah Subuh dah ni!” suara ibu keras menusuk ke dalam gegendang telingaku. Kubuka mata perlahan-lahan. Rupa-rupanya aku bermimpi. Namun, walaupun sekadar bermimpi, aku sedar aku sudah tidak mempunyai seorang ayah. Ternyata, perasaan rindu yang amat mendalam terhadap ayah tidak dapat kunafikan lagi sehinggakan terbawa-bawa ke dalam mimpiku. Aku amat merinduimu, wahai ayahku.

Ahad, 8 November 2009

Pagar dari Syaitan

Di bawah ini dinyatakan cara-cara atau amalan yang boleh dilakukan untuk memagar diri anda dari perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam. Sihir mungkin tidak mengenal siapa anda. Ia boleh menyerang anda.Ketahuilah cara memagari diri anda dari sihir dan gangguan syaitan.

Pagar Pertama

(1)- Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:

"Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".(Riwayat al Bukhari.)

Pagar Kedua

(2)- Berwuduk sebelum tidur
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka.Sabda Rasulullah S.A.W:

Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah! Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.' (Riwayat at Tabraaniy dgn sanad yang baik.)

Pagar ketiga

(3)- Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain. Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:

Ertinya:
'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah.Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik).

Pagar Keempat


(4)- Mendirikan Solat Tahajjud utk memagarkan diri dari sihir
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya. Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu. Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut.Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:

Ertinya:
"Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"(Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Pagar Kelima

(5)- Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas
Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ke tandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan.Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata:

Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan". Riwayat al Bukhari dan Muslim. Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina.

Pagar Keenam

(6)- Memagar isteri selepas selesai akad nikah
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:

"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."(Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).

Pagar Ketujuh

(7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap. Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah:

"Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.

P/s : Ingatan untuk diri saya serta tetamu ruangan sekalian, berdoalah serta usahalah supaya diri kita serta rakan-rakan di sekeliling kita sentiasa terpagar dari syaitan yang secara terangan berusaha untuk menghapuskan tiap langkah iman anak Adam.