Sabtu, 14 November 2009

Sejalur Rindu Buat Ayah

Aku duduk terjelepuk di bawah sebatang pohon yang rendang di atas tanah pusara ayahku. Ternyata hati ini tidak mampu menahan kesedihan yang masih berkubu di benakku yang sunyi. Kenangan bersama ayah ketika berkelah di Teluk Batik tidak akan kulupakan.

Ratapan luka hatiku masih belum reda. Namun, disebabkan takdir yang menentukan segalanya, aku akur. Aku pasrah. ”Mungkin Tuhan lebih menyayangi ayahku”, bisikku di dalam hati. Aku cuba membawa rajukku jauh dari pusara ayah kerana kata ibu, tidak elok jika kematian ayah ditangisi. Ibaratnya, kita tidak mampu menerima takdir. Dari nur mata ibu, aku faham perasaannya. Biarpun, riaknya kebal, tapi, aku tahu hatinya masih sedih.

Kotak fikiranku masih berlegar di Teluk Batik. Kisah suka, duka dan lara bersama keluarga ke Teluk Batik terungkai satu persatu. Setelah tiba di Teluk Batik sekitar jam 9.00 pagi, kami sudah tidak sabar lagi ke pesisir pantai untuk menikmati panorama alam, lautan indah yang cukup luas. Dengan pasir pantai yang suci memutih, hijau biru air yang dingin, tidak lupa juga tiupan bayu laut yang nyaman berpuput, jelas membawa kami hanyut dalam keseronokan bermandi-manda. Teluk Batik menjadi saksi. Keakraban kami tujuh beranak tidak dapat dinafikan. ”Pandai ayah mencari tempat untuk kami berkelah”, aku bermonolog sendirian.

Pada mulanya, kami bercadang untuk pulang ke kampung keluarga ibu di Tumpat, Kelantan. Kata nenek, sawah padi kepunyaan datuk masih menghijau. Bermakna, pemandangan sawah padi di petak-petak bendang begitu cantik. Tambahan pula, telatah lucu nenek yang suka melatah sambil memakan sirih membuatkan semangatku semakin membuak-buak untuk pulang ke kampung. Namun, apakan daya. Permohonan cuti ayah tidak diluluskan. Jadi, kami terpaksa membatalkan hajat untuk pulang ke kampung. Lalu, ayah mengambil keputusan untuk membawa kami sekeluarga berkelah di Teluk Batik.

Keindahan alam yang terbentang luas mengkagumkan aku. Kelihatan hidupan-hidupan laut yang kecil melewati pesisir pantai tatkala badai ombak menghempas pantai, pecah berderai menjadi buih. Sungguh mengkagumkan. Sementara kami masih mandi di pesisir pantai, ibu sibuk menghidang makanan yang dibawa. Cuaca di Teluk Batik itu juga agak nyaman dan cahaya matahari tidak terlalu terik. Nasib baiklah, cuaca pada hari itu baik. Kalau tidak, tentu ibu akan berasa risau dan susah hati. Mana tidaknya, pertama, adik bongsuku, Farehah masih berumur satu tahun dan tidak selesa berada dalam keadaan yang panas. Kedua, mengelakkan daripada berlakunya ’kulit terbakar’ apabila berjemur terlalu lama di bawah cahaya matahari.

Apabila makanan siap tersedia, ibu memanggil aku, ayah dan adik beradikku yang lain makan bersama-sama. Kami segera bergerak ke arah ibu untuk menjamah sedikit juadah yang tersedia. Belum sempat kami menjamah makanan, tiba-tiba ayahku bagaikan terputus nyawa. Pergerakan tangannya lemah. Nafasnya terputus-putus dan tercungap-cungap bagai nyawa-nyawa ikan. Ditekup tangannya rapat pada dada kanannya dan ditekan kuat menahan kesakitan. Kami mula panik. Ibu sudah mulai resah. Aku tahu ibu risau. Kepala ayah ditatang rapi atas ribaannya. Matanya merah. Sebutir demi sebutir air mata ibu jatuh bagaikan intan ke pipi gebunya. Aku juga tidak dapat menahan sebak. Abangku mula mempraktikkan ilmu bantuan kecemasan yang dipelajarinya sewaktu perkhemahan Bulan Sabit Merah kepada ayah, sementara aku bergegas mendapatkan bantuan daripada pihak restoran berdekatan untuk dibawa ke hospital. Adik-beradikku yang lain hanya membatu takut.

Setibanya kami di hospital, ayah segera dimasukkan ke dalam wad ICU. Aku dan ahli keluarga yang lain masih dalam keresahan terutamanya kami, adik-beradik. Wajah ibu nampak tenang walaupun jujuran airmata tetap mengalir basah. Suasana di hospital agak muram. Tiga jam kemudian, doktor keluar dari ruangan pembedahan. Keputusan yang tidak dapat kuterima, diujar doktor. Ayahku tidak dapat diselamatkan lagi. Bagaikan mimpi ngeri, aku mula berasa tidak percaya. Tapi, apakan daya. Ajal dan maut di tangan Tuhan. Pemergian ayahku menjadi nostalgia sepi bersama kenangan kami di Teluk Batik.

Tidak semena-mena, ”Paeh, Paeh, bangun! Dah Subuh dah ni!” suara ibu keras menusuk ke dalam gegendang telingaku. Kubuka mata perlahan-lahan. Rupa-rupanya aku bermimpi. Namun, walaupun sekadar bermimpi, aku sedar aku sudah tidak mempunyai seorang ayah. Ternyata, perasaan rindu yang amat mendalam terhadap ayah tidak dapat kunafikan lagi sehinggakan terbawa-bawa ke dalam mimpiku. Aku amat merinduimu, wahai ayahku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan