Rabu, 4 November 2009

Fitri Oh Fitri!!!!!

“Fitri!!!!!” panggil Cikgu Hisyam. “Ya, cikgu,”sahut Fitri yang masih bisa sibuk mengunyah kerepek pisang yang dibelinya di koperasi sekolah. “Mari sini sekejap. Saya nak berjumpa dengan kamu,” sambung Cikgu Hisyam, guru disiplin sekolah yang di geruni para pelajar di sekolah itu. Fitri bingkas bangun dari kerusi batu di pondok koperatif sekolah. Jantungnya mula berdegup kencang tatkala kakinya baharu mula melangkah menuju ke bilik disiplin. Mukanya mula bertukar menjadi merah padam. Fikirannya mula berkecamuk memikirkan kebarangkalian terdapat kesalahan kecil mahupun besar yang dilakukannya. Jauh di sudut hatinya dia mula bermonolog sendirian,“aku ni, ada buat hal ke? Tiba-tiba je cikgu panggil aku”. Dia membiarkan saja hatinya membuat andaian terhadap panggilan cikgunya sebentar tadi.

Fitri mula kebingungan. Namun, dia terpaksa melupakan segala perkara yang berada dalam kotak fikirannya itu. Langkahnya semakin pantas kerana dia risaukan kelewatannya menuju ke bilik disiplin itu. Doa-doa ringkas dibacanya berulang kali. Perasaan gementarnya semakin menjadi-jadi. Tetapi, perasaan sebegitu harus disembunyikannya supaya tidak menampakkan kegugupannya di hadapan cikgu nanti.

Fitri melangkah masuk ke bilik disiplin sekolah itu dengan kaki kanan setelah tiga kali mengetuk pintu bilik berkenaan. “Assalamualaikum, cikgu,” mudah saja perkataan itu keluar dari mulut Fitri. Dia mampu mengawal perasaannya yang gugup tadi. Senyuman ringkas mampu diukirkan Fitri. Cikgu Hisyam segera memulakan bicara. “Waalaikumussalam, sila duduk”. Fitri mula menarik sebuah kerusi yang bersandaran pada meja utama bilik itu. Cikgu kelihatan agak sibuk mengemaskan fail-fail disiplin yang agak kurang tersusun di atas mejanya. Cikgu tidak berkata apa-apa. Fitri juga begitu. Suasana menjadi sepi seketika. Namun, setelah fail-fail itu sudah disusun rapi, suasana yang sepi tadi kembali bersuara. “Secara jujurnya, cikgu nak tahu kenapa kamu kurang berminat untuk belajar di sini? Kamu ada masalah ke?”

Fitri mula melayangkan kotak fikirannya pada keadaan rumahnya. Fikirannya melayang jauh. Persoalan Cikgu Hisyam tadi masih tidak dijawabnya lagi. Jauh di sudut hatinya, dia teringatkan keadaan ayah dan ibunya yang kurang sihat sibuk membanting tulang menyara kehidupan dan pelajaran dia dan adiknya, Fadhil. Lamunan Fitri mula tersentak apabila namanya dipanggil berulang kali oleh Cikgu Hisyam. “Fitri, kamu ada masalah ke? Boleh ceritakan pada cikgu?” suara Cikgu Hisyam semakin rancak bertandang di gegendang telinganya. “Saya tak ada masalah, cikgu. Kenapa, cikgu?” soal Fitri ingin tahu. “Tak, cikgu ada menerima laporan bahawa sejak kebelakangan ini, kamu sering bermuram dan tidak menumpukan perhatian ketika belajar di dalam kelas. Kamu ada masalah ke?”soal Cikgu Hisyam yang cuba untuk mencungkil rahsia dan perkara sebenar yang masih terbuku di dalam hati sanubari pelajarnya itu. Fitri diam. Segala pertanyaan yang diajukan oleh Cikgu Hisyam, tidak dijawab. Dia terus membisu. Sehinggalah masa rehat tamat, Fitri masih tunduk. Enggan menjawab persoalan yang diutarakan oleh cikgu sebentar tadi. Namun, Cikgu Hisyam membenarkan Fitri bergerak ke kelasnya untuk meneruskan Kelas Fleksi Bukhari kerana hanya tinggal dua bulan sahaja lagi untuk Fitri bersiap sedia sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Namun, sebelum Fitri melangkah keluar dari bilik disiplin itu, Cikgu Hisyam sempat memberitahu Fitri bahawa segala masalah yang di alami pasti ada penyelesaiannya dan berkongsilah dengan sesiapa yang boleh dipercayai. Dan yang paling penting, jika malu untuk berkongsi dengan lisan, gunalah surat sebagai pengganti diri. Fitri menghulurkan tangan bersalaman dengan Cikgu Hisyam sambil mengucapkan ucapan terima kasih. Dia sempat mengukir senyum simpul kepada cikgu disiplinnya itu buat pertama kali kerana selama ini dia menyangkakan bahawa Cikgu Hisyam seorang guru yang cukup garang dan menakutkan. Namun, sekarang, sangkaannya meleset sama sekali.

………………………………..

Fitri meneruskan pembelajarannya seperti biasa. Tapi, terkadang, masalah kerisauannya terhadap ibu bapanya sering menghantui dirinya. Namun, bagi dirinya, itu sudah menjadi lumrah bagi setiap ibu bapa akan berusaha sedaya upaya untuk menyediakan segala yang terbaik kepada anak-anak mereka. Tetapi, Fitri hairan. Mengapa mereka perlu merahsiakan perkara sebenar tentang kelahirannya? Dan kenapa pula perkara sebegitu dirungkaikan ketika dia sibuk menguruskan dokumen-dokumen penting untuk meneruskan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dulu? Kenapa tidak sebelum itu? Patutlah setiap kali ada saja borang dari sekolah yang perlu diisi, ayah akan segera menyiapkan dan menyerahkan sendiri borang itu kepada guru kelas.

Fitri mengingatkan kembali kata-kata ibunya ketika perkara sebenar tentang kelahirannya dirungkai semula. “Fitri, ibu dengan ayah nak minta maaf. Ibu harap Fitri dapat dengar dengan tabah apa yang nak ibu cakapkan”. Fitri hairan dengan kata-kata ibunya. Namun, dia hanya menganggukkan kepala sahaja tanda setuju. “Sebenarnya, hal ini ibu dengan ayah telah sorokkan sejak Fitri lahir lagi. Sekali lagi ibu minta maaf. Sebenarnya, ibu dengan ayah bukanlah ibu dan ayah kau yang sebenar,” sambung ibunya lagi sambil menitiskan air mata.

Fitri terkedu mendengar hal yang sebenar yang terpacul keluar daripada mulut ibunya itu. Matanya tiba-tiba sahaja mula digenangi dengan air mata. Namun, kolam kelopak matanya tidak mampu menampung genangan air matanya yang terlalu banyak. Dan akhirnya, pipinya yang putih basah dengan linangan air sendunya itu. Ayahnya yang tadi hanya mendiamkan diri, bingkas bersuara, “tapi, ibu dengan ayah tetap anggap Fitri macam keluarga kami sendiri”. Fitri tidak menghairankan kata-kata ayahnya itu. Yang pasti, pelbagai bentuk persoalan semakin banyak tercetus dalam benak nuraninya. Dengan pantas, Fitri bersuara, “habis, siapa ibu dan ayah Fitri yang sebenar?” Sepantas kilat, kepala ibunya yang tertunduk menangis sebentar tadi, bangkit menatap raut wajah anaknya itu.

Namun, ibunya merasakan terlalu berat untuk memberitahunya. Lalu, dengan bingkas, ayahnya memulakan cerita. “Fitri, ayah bekerja sebagai seorang askar sejak tahun 1964 lagi. Sejak dari itu, ayah telah bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang baik dan ada juga yang jahat. Namun, tugas ayah adalah menjaga keselamatan dan keamanan di negara ini. Ketika itu, ayah masih bertugas di Perak. Namun, pada tahun 1979, selepas ayah dengan ibu kamu diijabkabulkan, ayah ditukarkan ke Kem Askar Wataniah Sarawak. Kami hidup di sana aman dan bahagia.

Namun, pada tahun 1989, setelah sepuluh tahun berkahwin, ibu dengan ayah masih tidak dikurniakan seorang cahaya mata. Kebetulan, pada suatu hari, ketika ayah ditugaskan untuk menjaga kawasan hospital, ada seorang wanita cina yang baru sahaja tiga hari melahirkan seorang bayi lelaki, bertanyakan kepada ayah sama ada ayah sudi untuk menjaga anaknya itu atau pun tidak. Sebenarnya Fitri, ayah amat terkejut akan pertanyaan wanita itu. Tambahan pula katanya, suaminya tidak menyukai anaknya itu dan dia terpaksa menyerahkan bayinya itu kepada sesiapa sahaja yang sudi menerimanya. Jadi, setelah pulang dari hospital, ayah berjumpa dengan imam besar kem tentera dan bertanyakan perihal tersebut. Namun, jawapannya positif. Imam tersebut menggalakkan ayah supaya menerima bayi cina itu sebagai anak angkat dan mengislamkan bayi tersebut. Tambahan pula, ayah dan ibu kamu inginkan cahaya mata,” cerita ayahnya sambil memandang perkarangan rumah mereka melalui tingkap di ruang tamu rumahnya itu.

Ayahnya menyambung kembali cerita panjang itu walaupun dia merasakan keperitan yang amat sangat, “dan, keesokan harinya, ayah menuju ke hospital seperti biasa untuk menjalankan tugas. Harapan ayah agar dapat bertemu dengan wanita cina itu lagi dan segera memberitahunya tentang persetujuan ayah untuk mengambil bayi lelaki itu sebagai anak angkat. Dan apa yang ayah harapkan tidak menjadi. Hal ini kerana wanita cina itu telah melarikan diri dari hospital berkenaan”.

Dengan wajah yang hampa, ayahnya meneruskan cerita, “harapan ayah hancur berkecai. Selang tiga jam kemudian, pihak askar menerima satu laporan tentang kes sindiket penjualan bayi di dalam sebuah bot tongkang di Sungai Semporna. Jadi, ayah bersama pihak polis dan marin dari Miri, Semporna, dan Tawau telah mengepung kawasan berkenaan. Dan hasilnya, kami menemui bayi lelaki wanita cina tadi bersama beberapa orang asing dari Thailand yang terlibat dengan sindiket tersebut. Walau bagaimanapun, suami dan wanita cina itu berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa. Dan bayi lelaki cina itu ayah bawa pulang ke rumah setelah segala urusan kelahirannya ayah uruskan. Bayi itulah sebenarnya adalah,……kamu,….Fitri”.

Fitri tersedu sekali lagi dengan kata-kata ayahnya itu. Ibunya masih tidak dapat menghentikan tangisannya tatkala kisah lama yang hampir berusia lebih satu dekad itu diungkai semula. Fitri bingkas bangun dari kusyen empuk di ruang tamu rumahnya itu. Dia segera mencapai basikal usangnya yang tersadai di pondok hadapan rumahnya menuju ke rumah neneknya tidak jauh dari rumahnya sendiri. Perasaan terkejut dan terharu terus menyelubungi pelusuk tubuh diri Fitri. Namun, jauh di sudut ruang hatinya, dia menanam perasaan dendam kesumat yang teramat sangat kepada ibu dan ayah kandungnya itu.

Fitri tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia hanyalah seorang anak angkat. Wajah neneknya ditatap rapi. Fitri tidak dapat menahan air matanya daripada terus berguguran membasahi pipinya itu. Namun, dia tetap berhasrat untuk mengetahui hal sebenar daripada neneknya itu. Persoalan demi persoalan dilontarkan Fitri. Dengan tangan yang berkedut, lembut, neneknya mengesat air mata pada pipi Fitri. Neneknya sudah dapat baca apa yag tersembunyi di sebalik hatinya. Dengan manis bicara, neneknya mengiakan segala pertanyaan Fitri. Tanpa di duga Fitri terjelepuk duduk di sisi meja makan rumah neneknya itu. Begitu pantas air matanya mengalir mencurah-curah ke pipinya. Esakan kecil Fitri rasakan. Neneknya pantas mendakap erat Fitri yang masih meratap kesedihan atas apa yang berlaku. Matanya bengkak dan kemerahan kesan tangisan yang dirasainya itu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sayunya hatinya mendengar hakikat sebenar kehidupannya. Fitri berasa asing apabila perkara tersebut diluahkan sendiri oleh ibu dan ayahnya. Dia merasakan kehinaan yang amat sangat kerana dia bukannya datang dari keluarga yang baik-baik. Fitri mengambil keputusan untuk tinggal beberapa hari di rumah neneknya itu sementara hatinya sejuk dan dapat menerima hakikat sebenar.

………………………………..

“Fitri, Fitri nak tahu sesuatu tak?” soal nenek pada Fitri di suatu ruangan tamu ketika dia asyik menonton televisyen rancangan realiti. Fitri terkejut dengan kata-kata neneknya itu. Dia merasakan seolah-olah masih banyak perkara yang dirahsiakan oleh ayah, ibu dan nenek dari pengetahuannya. “Apa dia, nek?” soal Fitri kembali. “Fitri, Fitri tahu tak yang orang lain semua sayangkan Fitri, walaupun mereka tahu yang Fitri sebenarnya bukan darah daging mereka sendiri?” neneknya cuba untuk menguji Fitri samada dia sayangkan mereka atau pun tidak. Fitri kelu. Lalu, neneknya menyambung lagi. “Dan sebab ada Fitri lah, ibu Fitri dikurniakan zuriat oleh Allah iaitu adik Fitri, Fadhil. Sebenarnya Fitri, ibu Fitri tidak pernah ada susu badan ketika menjaga Fitri. Dan dia terpaksa meminta Mak Cik Leha untuk menyusukan Fitri yang kebetulan pula, dia baru sahaja melahirkan anak pada ketika itu. Dan setelah dua tahun menjaga Fitri, ibu Fitri pula dikurniakan cahaya mata. Setelah ibu Fitri melahirkan Fadhil, Fitri dan Fadhil sama-sama berebut mahu minum susu. Kenangan itulah menyebabkan ibu dan ayah Fitri bertambah sayang sangat pada Fitri. Fitri tak sayangkan mereka ke?” nada nenek tiba-tiba saja berubah sedih. Fitri sedar tindakannya meninggalkan rumah untuk sementara waktu boleh menyebabkan ibu dan ayahnya tersinggung. Tapi apakan daya. Dia mahu menenangkan fikirannya.

Hari demi hari berlalu. Fitri semakin bisa menerima hakikat sebenar tentang hidupnya. Dia semakin gembira dengan adanya ibu dan ayah angkatnya yang terlalu prihatin akan keperluan hariannya. Tapi terkadang, Fitri menjadi asing tatkala menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ahli keluarga ibu dan ayahnya sering bertandang di rumahnya. Jadi, Fitri selalu memikirkan bahawa dia seorang anak buangan bahkan boleh jadi dia seorang anak yang hina. Oleh sebab itu, Fitri sentiasa dalam kemurungan apabila tiba saja musim perayaan itu. Sehinggakan, pada hari raya ketiga, sewaktu dia berusia lima belas tahun, emak susuannya, Mak Cik Leha mengajaknya untuk mengikuti mereka berkelah di Pulau Tioman. Dan daripada itulah, Fitri mudah bermesra dengan semua ahli keluarga sebelah ibunya ataupun sebelah ayahnya. Semakin lama, Fitri semakin erat dengan keluarganya dan dia semakin selesa tinggal di situ.

………………………………..

“Fitri, ada barang lagi ke yang nak bawa ni?” soal bapanya tatkala bonet kereta hampir ditutup rapi. Fitri akan mendaftarkan dirinya di sekolah berasrama penuh. Harapannya untuk berjaya dalam peperiksaan UPSR sebelum ini tercapai apabila sijil anugerah pelajar cemerlang 5A digenggamnya erat.

Setibanya Fitri di sana, wajahnya kelihatan sungguh ceria. Sememangnya sikapnya yang peramah dan mudah mesra dengan orang lain membuatkan rakan-rakan barunya terasa terlalu mudah untuk mendampinginya. Fitri tidak merasa asing di sekolah itu. Pelukan erat ayah, ibu dan adiknya dirasakan. Lambaian perpisahan ayah dan ibunya buat kali terakhir disambut baik Fitri dengan tangisan ringkas.

Belum sempat lamunannya berakhir, sahutan suara Ustaz Haris pula yang bertandang dan bergetar di cuping telinganya. Lantangan suara ustaz sudah cukup untuk memalukan Fitri di hadapan rakan-rakan yang lain di dalam kelas. Mukanya bertukar menjadi merah padam tatkala sindiran sinis Ustaz Haris memecah kesunyian kelas 5 Al-Bukhari itu. Apabila tamatnya sesi pelajaran Bahasa Arab bersama Ustaz Haris, Fitri segera merencanakan kisah asal kelahirannya yang selama ini masih menghantui dirinya pada beberapa helaian kertas putih untuk ditunjukkan pada Cikgu Hisyam. Dengan pantas, Fitri segera menyiapkan kisah hidupnya itu. Lalu, diserahkannya kepada Cikgu Hisyam dengan hanya meletakkannya di atas meja cikgu. Fitri bergegas pulang ke kelasnya untuk siap bersedia meneruskan sesi pembelajaran seterusnya.

………………………………..

Kkrrriiiiiinnngggg!!!!! Loceng rehat lantang berbunyi. Semua pelajar mula bergegas keluar dari kelas menuju ke kantin sekolah. Namun, pada waktu itu, Fitri dipanggil oleh Cikgu Hisyam ke biliknya. Kali ini, perbincangan antara Fitri dengan cikgu disiplinnya itu lebih menumpukan pada penyelesaian atas apa yang sentiasa bermain di fikirannya. Fitri kagum dengan tiap-tiap lirik bicara gurunya itu. Segala masalah yang bertaut, ada saja cara penyelesaian yang rasional. Perbincangan mereka terkadang terselit dengan gelak ketawa kecil tatkala lawak-lawak spontan dan ringkas Cikgu Hisyam berkumandang di bilik disiplin sekolahnya itu. Fitri selesa dengan kata-kata cikgunya itu. Hatinya sekarang sudah dipenuhi dengan rasa syukur yang tak terhingga kerana jika tidak, dia tidak akan merasai akan manisnya iman dan Islam. Jika tidak, mungkin dia sudah dijual dengan harga RM 600 itu. Dan jika tidak, besar kemungkinan dia sudah dipaksa menjadi pengemis jalanan yang tidak terurus hidupnya. Rasa untung, puas hati, dan syukurnya itu biasanya lebih tergambar tatkala program Qiamullail yang diadakan oleh Badan Dakwah Rohani dan Ibadah (BADRI) sekolah, dijalankan pada setiap minggu.

Fitri kembali serasi dengan kehidupannya seperti biasa. Masalah-masalahnya yang sering menghantuinya itu, sering dielakkannya dengan membaca Al-Quran. Dan kini, prestasi pembelajaran Fitri semakin meningkat naik. Dia semakin rapat dengan guru disiplinnya itu yang secara kebetulannya Cikgu Hisyam merupakan mentor dan pembimbing kepada ahli-ahli biliknya. Secara ringkasnya, Fitri sudah menganggap Cikgu Hisyam sebagai ayahnya sendiri, walaupun dia sedar bahawa dia tidak layak menjadi pelajar yang rapat dengan cikgunya kerana mereka berlainan bangsa. Namun, dia berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan dan menghilangkan segala perasaan negatifnya itu dari terus mendiam dalam hatinya.

Perasaan gembiranya semakin rancak tergambar pada raut wajahnya walaupun terkadang masalah lamanya itu kembali bertandang dalam kotak fikirannya. Fitri juga kini sudah mampu untuk menerima kembali ibu dan ayah angkatnya. Segala dendam yang masih kesumat dalam hatinya mengenai ibu dan ayah kandungnya, dibiarkannya berlalu begitu sahaja. Apa yang mampu diungkapkan olehnya hanyalah mengharapkan ibu dan ayah kandungnya itu diberi hidayah oleh Allah andai kata mereka masih hidup di dunia fana ini.

TAMAT



Untuk perhatian tetamu ruangan, kisah ini merupakan kisah benar tetapi telah diubahsuai supaya watak dan jalan ceritanya tidak menunjukkan watak sebenar. Diharapkan sidang pembaca dapat mengambil iktibar daripada kisah ini. Sekian, sekalung apresiasi, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan