Isnin, 7 Mac 2011

Hati Sering Ditegur...


Pasti kalian pernah berbicara
soal pemberontakan hati di jiwa.

Pasti kalian pernah menuturkan
rasa hati yang mencengkam
seolah-olah tiada nyawa yang berperasaan
merenggut tohmah pada relung batin yang tersimpan.

Bagi hati yang sering ditegur
kembalilah
tiada aksara yang tercatat
melainkan keredhaan yang merelakan
tiada kerlingan yang menghunjam deria matanya
hanya kerana menggamit sejenak
menyusur ke pangkal mafatih insan.

Hati yang senantiasa ditegur
nukillah ibtisam di tubir bibirmu
kala kembangan senyum itu terzahir
sukma pasti mekar
dalam segarnya serambi kesyukuran.

Buat hati yang tegar dengan teguran
mereka sering mengingatkan
bahawa cerucuk batu di hujung dan pangkal
bakal menghadap maharajanya
di balairung seri
setelah titah tuannya bertamu di sisi.

Sesungguhnya
tiada yang malang bagi hati yang sering ditegur
kerana
kasih manusia itu masih tebal berselimut
percaya manusia itu masih sopan merias nurani.

Janganlah bersedih wahai hati
janganlah bersendiri jika ditegur lagi...

Selasa, 1 Mac 2011

Alun Jemari untuk Sebuah Nilai Seni...


Sudah lama jemari ini beralun longlai...
mencoret sebuah karya seni....

Mahu tahu apa seninya???


Hehehehehhee...mungkin tidak seberapa...

Mungkin jua tidak berharga...

Tapi saya suka....

sebabnya.... Alhamdulillah, semuanya hasil jemari ini...

jemari kurniaan Ilahi....


Untuk kalian???
Untuk kalian, apa yaaa???...

Kalian fikirlah...

Fikir mencari kebolehan diri...

Kalian jua punya nilai tak bertepi...

Kerana Allah itu sempurna lagi Maha Tinggi...



Kalian,
Belajarlah menghargai ciptaan Ilahi....

Kerana apa???

Kerana yang cerdik pandai itu dikurniakan akal fikiran

Yang pantas cergas itu dikurniakan kemahiran bersukan

Yang petah bertutur itu dikurniakan kefasihan

Yang anggun itu dikurniakan kecantikan

Yang menulis itu dikurniakan ilham berpanjangan

Yang santun itu dikurniakan nilai kehormatan

Yang bertakhta itu dikurniakan kuasa dan kepemimpinan

Yang berada itu dikurniakan nikmat dan kesenangan

Yang merdu itu dikurniakan irama kesyahduan

Yang tulus itu dikurniakan rasa kesyukuran dengan segala kurniaan.


Perlu diingat,
Mahu ingat apa????


Ingat,
bahawa yang jahil itu bukannya kebodohan,

tetapi merendahkan diri elak kebanggaan.

Yang kelihatan lemah itu bukannya murung ketakutan,

tetapi leka mentafsir dan merenung ciptaan Tuhan.

Yang gagap itu bukannya kekeluan,

tetapi berdiam kerana enggan menjual kehormatan Din kesayangan.

Yang hodoh itu bukannya menafikan kenikmatan,

tetapi takut diseksa kerana lakukan pengubahsuaian.
Yang disleksi itu bukannya malas berusaha,

tetapi takdir melebihkan keistimewaan.

Yang kasar itu bukannya biadab,

tetapi peringatan bahawa manusia di bawah bukan hamparan penindasan.

Yang menjadi hamba bukannya untuk dagangan,

tetapi menjadi mangsa serakahnya kebinatangan.

Yang papa bukannya belas kemelaratan,

tetapi jelas pabila rakyat dimelaratkan.
Yang sumbang pula malu untuk bergurau canda,

sedangkan suara itu kurniaan sementara.

Dan yang sangat memalukan,

pabila segala-galanya semakin menjauhi ketulusan...

mendekati sebuah keterpaksaan..

Di sini alunan jemari untuk sebuah nilai seni

sudah tidak lagi bererti
dan hampir mati...

MATA



Wahai mata
izinkan aku memandangnya
seluas saujana terdampar
kelibat malam terbentang
panorama alam hutan menghijau
membugarkan bola pancarku
seadanya.

Wahai mata
izinkan aku menatapnya
bebas sang unggas mengepak riang
warga mergastua berkicauan
berdondang seiring cengkerik emas
hanya bersahaja cuma.

Wahai mata
izinkan aku merenungnya
betapa nikmat silauan mentari di ufuk
betapa rahmat sinaran rembulan di malam zulmat
sambil meratib tasbih kebesaran.

Aduhai mata
izinkan aku menjelingnya
keletah manusia punya jiwa
tika meruntun kata, mengurai mesra
kala mataku liar menerjah semesta.


26 Feb 2011
Memori
Kumpulan GAPURA
[ Faiz, Din, Bilah, Wani, Titak, Dayah, Zila, Ainul, Suri ]
Kem Bina Semangat Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu

P/S : Andai mata ingin menangis, izinkanlah... Itulah satu kepuasan bagi mata...

SEPAGI BERSAMA....



Hahahahahahaa.... hilai tawaku panjang
Dengan liar mengerling sekeliling
Panorama malam pekat sudah jelas tampaknya di luar jendela
Aku dan mereka masih bertenggek di sisi kabinet kayu
dengan riang membalas bicara masing-masing...

Hahahahahhahahaaa.... hilaian yang semakin panjang
Tiada siapa yang menghalang
Tiada siapa jua yang menentang

Hahahahahhaaaa.... kami semakin bermaharaja lela
Puas dengan gosip sendiri
Muak dengan kisah seksi seksa
Jeluak dengan kutuk hina
Tapi kami selesa dengan cerita sendiri
Berkongsi seadanya
Selagi masih ada waktu bersisa...

Sebelum mata tertutup rapi....
Sekali lagi hilai menjelma
Hahahahahahahaaaa.....
Mengusik dan merenggut tiap nadi yang bersuara
Biar pun pagi sudah lama bertandang
Sehingga rapat mata meninggalkan zulmatnya malam...