Ahad, 15 November 2009

Khasiat Kentut





WASHINGTON : Ia mungkin melucukan dan dianggap tidak masuk akal tetapi pegawai kesihatan persekutuan Amerika Syarikat (AS) dijangka segera mengeluarkan laporan yang memberi amaran kepada umum mengenai faedah kentut.

“Kentut, jika kerap dihidu boleh menyembuhkan pelbagai penyakit berbahaya seperti sakit kepala, gangguan pada mata, emfisema, lelah, bronkitis, sakit jantung dan lain lain."

“Setiap tahun, kira-kira 130,000 rakyat AS telah pulih daripada pelbagai penyakit disebabkan menghidu kentut dan ramai lagi berasa lega daripada penyakit serius kerana terlalu lama terdedah kepada keadaan itu,” kata seorang doktor yang bertugas dengan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS.

Katanya, orang ramai mesti menyedari menghidu kentut sebenarnya menambah khasiat untuk kesihatan orang lain. Menurut laporan yang akan dikeluarkan CDC, setiap tahun kentut memulihkan 800 kes serangan jantung, 250 kes angin ahmar,30000 lelah dan 50000 kes sakit telinga. Disebabkan masalah makanan tidak teratur, kini ramai rakyat Amerika menghidap kembung perut. Menurut laporan itu, purata penduduk AS kentut 14 hingga 23 kali sehari.

Pengajarannya :

* Kentutlah merata-rata tempat, ingatlah orang-orang yang tersayang!! Tapi, INGAT, jgn kentut dekat aku, sebab aku lebih rela sakit dari hidu kentut korang...nonsense...huhu...

Rahsia Melalui Tulisan




KENALI DIRI ANDA MELALUI TULISAN...


Pertama : Tekanan


i. Tekanan yang kuat
Seseorang yang menulis dengan kuat tekanannya sehingga berbekas di bahagian belakang kertas.
· Sihat, cergas, pantas dan sedikit agresif

ii. Tekanan yang ringan
Seseorang yang menulis dengan lembut dan ringan dan tidak berbekas.
· Kurang bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit

Kedua : Bentuk Tulisan

i. Tulisan yang bulat-bulat
Semua huruf ditulis dengan bulat
· Emosional, prihatin, pengasih penyayang, kepekaan tinggi dan banyak memakai otak di sebelah kanan (otak kreatif)

ii. Tulisan yang tajam-tajam atau leper-leper
Tulisan yang angular dan sharp
· Rasional, berkerja dgn sistematik, pandai mengurus dan banyak memakai otak di sebelah kiri (otak logical)

Ketiga : Kecondongan

i. Condong ke kanan
· Extrovert, suka bercerita, berkongsi maklumat dgn orang lain, peramah, suka campur orang, mudah memimpin, mudah menunjukkan kasih
sayang, berani, pemurah

ii. Condong ke kiri
· Introvert, suka menyimpan rahsia, agak pemalu, tak suka berubah, amat setia kepada kekasih, keluarga, organisasi dan negara tetapi tak suka
campur orang

iii. Tegak
· Systematic, mudah kawal diri, suka berkawan tetapi tak cari kawan sebaliknya kawan cari dia, tak suka gaduh-gaduh, suka ambil jalan
tengah

iv. Campur-campur
· Emosi tak tetap macam remaja yang belum cukup umur atau macam orang perempuan datang bulan (maaf)

Keempat : Kerapatan

i. Jarang-jarang
· Tak suka campur orang, kurang mesra dan sedikit boros.

ii. Rapat-rapat
· Suka campur orang, amat bergantung kepada orang lain, jimat atau kedekut

Kelima : Pada huruf J, G, Y, Z

i. Ada ekor
a) Besar, panjang dan sempurna
· Tahap emosi yang dipamer itu jelas, pengasih & penyayang, pemurah, mudah kesian pada orang, mempamerkan tahap kerajinan

b) Kecil, pendek dan tak sempurna
· Tak pandai mempamerkan emosi, kurang rajin, tak pandai mempamerkan kasih sayang walaupun sayang itu banyak dalam diri

Keenam : Pada palang huruf kecil T (t)


i. Tinggi
· Tahap aspirasi tinggi

ii. Rendah
· Mudah berpuas hati, cita-cita rendah

iii. Tengah-tengah
· Usaha dan tahap pencapaian itu di tahap sederhana

Rumusan : -


Tulisan mencerminkan peribadi… Kita boleh menukar tulisan kita untuk mengubah peribadi dan Personaliti kita dengan sengaja supaya kita cemerlang dalam hidup…




Ni la gambo Adik Aiman, adik pada kawan aku, Hafizi waktu menulis lagu dikir barat "Wau Bulan"...

P/s : Ini hanyalah simbol kebiasaan. Namun, jangan jadikannya sebagai kepercayaan yang boleh mendatangkan khurafat serta syirik.

Sumber : http://www.fadzilahkamsah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=48&Itemid=50

Soalan Cepu Emas...Kenapa MELAYU Gagal???

Kenapa sejak dahulu sehingga ke hari ini orang Melayu sukar untuk maju di negara sendiri?

….. dan kenapa orang-orang Melayu tidak boleh berfikir seperti bangsa Cina yang boleh bersatu walaupun berlainan fahaman politik dan boleh mengutamakan kepentingan bangsa lebih dari diri sendiri sehingga memungkinkan mereka berjaya walau di mana sahaja mereka berada walaupun di negara asing?

Jawapan-jawapan untuk pilihan anda:

(A) Kerana sikap orang itu sendiri yang malas berusaha, tidak mahu bersusah-payah dan mudah merasa selesa dengan apa yang ada. Sikap ketuanan dan bangga kedudukan masih menebal hingga menutup pemikiran.

(B) Orang Melayu telah ditanam dengan pemikiran penjajah - ‘makan gaji’ yang menjanjikan kehidupan terjamin tanpa perlu berusaha. Berniaga tiada dalam kamus kehidupan kerana penuh berisiko, tiada pengalaman dan tidak tahu (mahu) belajar berniaga. Survival masa depan Melayu adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata.

(C) Budaya subsidi dalam kalangan Melayu yang sentiasa mengharapkan pertolongan kerajaan - tiada tanah, tak boleh bertani, tiada pinjaman, tidak boleh berniaga, tiada biasiswa, tidak boleh belajar. Pendek kata kerajaan perlu menyediakan segala kemudahan terlebih dahulu dengan harapan orang-orang Melayu boleh maju(?)

(D) Orang-orang Melayu malas mencari ilmu membaca dan belajar untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran agar dapat berdaya saing dengan bangsa lain.

(E) Orang-orang Melayu takut mengambil risiko (dengan seribu satu alasan) terutama sekali dalam bidang perniagaan akhirnya kekal sebagai bangsa yang mengharap bangsa lain untuk hidup di negara sendiri dari memohon pekerjaan sehinggalah kepada membeli keperluan dapur.

(F) Sikap tamak haloba mementingkan diri dan berhasad dengki dalam kalangan orang-orang Melayu sendiri. Prinsip kepentingan diri lebih penting dari kepentingan bangsa menjadi pegangan.

(G) Orang-orang Melayu yang diberi amanah oleh peminpin dan kerajaan untuk membantu bangsa lebih suka membantu diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu. Survival politik diri sendiri lebih penting dari survival politik bangsa.

(H) Orang-orang Melayu sememangnya sudah ditakdirkan tidak boleh maju. Realitinya berbanding dengan bangsa-bangsa di merata dunia sehingga ke benua Afrika, kebanyakan bangsa Melayu hidup melarat atau cukup makan sahaja dan kekurangan dari segala segi ilmu ekonomi, teknologi malahan pemikiran. Orang-orang Melayu Malaysia apa bezanya?.

(I) Dalam sektor perniagaan yang penting kebanyakan orang-orang Melayu kurang ilmu- pengurusan perniagaan, kewangan, pemasaran. Sikap dah merasa diri cukup pandai, tidak perlu menambah ilmu dan malas membaca/belajar menambah parah keadaan ekonomi bangsa.

(J) Sikap kebanyakan orang-orang Melayu sanggup berbelanja ratusan hingga ribuan ringgit untuk perkara-perkara yang menghiburkan walaupun pendapatan terhad- makan di tempat mahal, membeli pakaian yang mahal, pergi melancong, menukar kereta (menambah hutang) tetapi tidak bersedia untuk menabung atau melabur untuk masa depan seperti membeli insurans kesihatan, pendidikan dan menambah ilmu dan jauh sekali membuat amal jariah membangunkan bangsa dan agama (walaupun harta dan simpanan mencecah ratusan ribu hingga jutaan ringgit).

(J) Perkataan ‘melayu’ itu sendiri yang membuatkan bangsa Melayu ‘menjadi layu / melayu’ di negara sendiri?



Nota: Sepertimana anda, kami di sini juga tidak bersetuju dengan pilihan jawapan-jawapan di atas. Bukan kami hendak memburukkan bangsa sendiri, tetapi inilah realiti yang sedang kita hadapi pada hari ini.

Pujian dan penghargaan kami berikan kepada sebilangan orang-orang Melayu kita yang telah berjaya dalam perniagaan dan kerjaya mereka serta sentiasa berfikir untuk memajukan bangsa. Semoga Allah sentiasa membantu mereka.

Mungkin saudara pembaca juga telah mencapai kejayaan (mengikut ukuran peribadi) dan boleh menyumbang buah fikiran agar dapat memotivasikan minda sahabat-sahabat Melayu kita yang lain.

P/s : Ini bukan suatu kompromi, tetapi suatu hakikat yang menyeru kita supaya lebih bermuhasabah...Maaf atas kekhilafan...

Sumber : http://mindamelayu.wordpress.com/

Sabtu, 14 November 2009

Tika Kita Mula Bersua...

Saudari,
Manis kiranya ada isi yang mampu kuungkapkan,
Ada bicara yang mampu kuluahkan,
Ada kata yang mampu kulontarkan,
Tika kita mula bersua.

Saudari,
Molek kiranya ada cerita yang mampu kucoretkan,
Ada ceritera yang mampu kunukilkan,
Ada buah yang mampu kulakarkan,
Tika kita mula bersua.

Namun saudari,
Tika kita mula bersua,
Tiada apa yang mampu kuungkapkan,
Tiada apa yang mampu kuluahkan, kulontarkan,
Hatta mencoret sedikit ceritera pun tidak mampu kunukilkan.

Aku sedar,
Aku bukan siapa-siapa yang layak melakarkan cinta,
Aku bukan siapa-siapa yang layak mengutip syahdu asmara,
Aku bukan siapa-siapa yang layak menagih kasih,
Apatah lagi mendapatkan tempat di sudut hatimu.

Namun saudari,
Izinkan aku mendekatimu,
Izinkan aku berkongsi kisah denganmu,
Izinkan aku bertukar-tukar idea denganmu,
Izinkan aku membantu sedaya kumampu,
Walau secebis...

Aku akui,
Mungkin aku tak mampu buatkan saudari gembira,
Tak layak untuk temani saudari bila berduka,
Bukan juga sahabat baik untuk berbicara,
Tapi,
Walaupun sekadar biasa
Kebahagiaan saudari, kebahagiaan aku jua.

Sebelum kakiku melangkah pergi, saudari,
Aku ingin berkongsi harap,
Agar tarikh keramat 14 Mac 2009,
Menjadi ingatan,
Yang mana, tarikh itulah,
Kita mula bersua,
Walaupun hanya di corong cuma...

Sejalur Rindu Buat Ayah

Aku duduk terjelepuk di bawah sebatang pohon yang rendang di atas tanah pusara ayahku. Ternyata hati ini tidak mampu menahan kesedihan yang masih berkubu di benakku yang sunyi. Kenangan bersama ayah ketika berkelah di Teluk Batik tidak akan kulupakan.

Ratapan luka hatiku masih belum reda. Namun, disebabkan takdir yang menentukan segalanya, aku akur. Aku pasrah. ”Mungkin Tuhan lebih menyayangi ayahku”, bisikku di dalam hati. Aku cuba membawa rajukku jauh dari pusara ayah kerana kata ibu, tidak elok jika kematian ayah ditangisi. Ibaratnya, kita tidak mampu menerima takdir. Dari nur mata ibu, aku faham perasaannya. Biarpun, riaknya kebal, tapi, aku tahu hatinya masih sedih.

Kotak fikiranku masih berlegar di Teluk Batik. Kisah suka, duka dan lara bersama keluarga ke Teluk Batik terungkai satu persatu. Setelah tiba di Teluk Batik sekitar jam 9.00 pagi, kami sudah tidak sabar lagi ke pesisir pantai untuk menikmati panorama alam, lautan indah yang cukup luas. Dengan pasir pantai yang suci memutih, hijau biru air yang dingin, tidak lupa juga tiupan bayu laut yang nyaman berpuput, jelas membawa kami hanyut dalam keseronokan bermandi-manda. Teluk Batik menjadi saksi. Keakraban kami tujuh beranak tidak dapat dinafikan. ”Pandai ayah mencari tempat untuk kami berkelah”, aku bermonolog sendirian.

Pada mulanya, kami bercadang untuk pulang ke kampung keluarga ibu di Tumpat, Kelantan. Kata nenek, sawah padi kepunyaan datuk masih menghijau. Bermakna, pemandangan sawah padi di petak-petak bendang begitu cantik. Tambahan pula, telatah lucu nenek yang suka melatah sambil memakan sirih membuatkan semangatku semakin membuak-buak untuk pulang ke kampung. Namun, apakan daya. Permohonan cuti ayah tidak diluluskan. Jadi, kami terpaksa membatalkan hajat untuk pulang ke kampung. Lalu, ayah mengambil keputusan untuk membawa kami sekeluarga berkelah di Teluk Batik.

Keindahan alam yang terbentang luas mengkagumkan aku. Kelihatan hidupan-hidupan laut yang kecil melewati pesisir pantai tatkala badai ombak menghempas pantai, pecah berderai menjadi buih. Sungguh mengkagumkan. Sementara kami masih mandi di pesisir pantai, ibu sibuk menghidang makanan yang dibawa. Cuaca di Teluk Batik itu juga agak nyaman dan cahaya matahari tidak terlalu terik. Nasib baiklah, cuaca pada hari itu baik. Kalau tidak, tentu ibu akan berasa risau dan susah hati. Mana tidaknya, pertama, adik bongsuku, Farehah masih berumur satu tahun dan tidak selesa berada dalam keadaan yang panas. Kedua, mengelakkan daripada berlakunya ’kulit terbakar’ apabila berjemur terlalu lama di bawah cahaya matahari.

Apabila makanan siap tersedia, ibu memanggil aku, ayah dan adik beradikku yang lain makan bersama-sama. Kami segera bergerak ke arah ibu untuk menjamah sedikit juadah yang tersedia. Belum sempat kami menjamah makanan, tiba-tiba ayahku bagaikan terputus nyawa. Pergerakan tangannya lemah. Nafasnya terputus-putus dan tercungap-cungap bagai nyawa-nyawa ikan. Ditekup tangannya rapat pada dada kanannya dan ditekan kuat menahan kesakitan. Kami mula panik. Ibu sudah mulai resah. Aku tahu ibu risau. Kepala ayah ditatang rapi atas ribaannya. Matanya merah. Sebutir demi sebutir air mata ibu jatuh bagaikan intan ke pipi gebunya. Aku juga tidak dapat menahan sebak. Abangku mula mempraktikkan ilmu bantuan kecemasan yang dipelajarinya sewaktu perkhemahan Bulan Sabit Merah kepada ayah, sementara aku bergegas mendapatkan bantuan daripada pihak restoran berdekatan untuk dibawa ke hospital. Adik-beradikku yang lain hanya membatu takut.

Setibanya kami di hospital, ayah segera dimasukkan ke dalam wad ICU. Aku dan ahli keluarga yang lain masih dalam keresahan terutamanya kami, adik-beradik. Wajah ibu nampak tenang walaupun jujuran airmata tetap mengalir basah. Suasana di hospital agak muram. Tiga jam kemudian, doktor keluar dari ruangan pembedahan. Keputusan yang tidak dapat kuterima, diujar doktor. Ayahku tidak dapat diselamatkan lagi. Bagaikan mimpi ngeri, aku mula berasa tidak percaya. Tapi, apakan daya. Ajal dan maut di tangan Tuhan. Pemergian ayahku menjadi nostalgia sepi bersama kenangan kami di Teluk Batik.

Tidak semena-mena, ”Paeh, Paeh, bangun! Dah Subuh dah ni!” suara ibu keras menusuk ke dalam gegendang telingaku. Kubuka mata perlahan-lahan. Rupa-rupanya aku bermimpi. Namun, walaupun sekadar bermimpi, aku sedar aku sudah tidak mempunyai seorang ayah. Ternyata, perasaan rindu yang amat mendalam terhadap ayah tidak dapat kunafikan lagi sehinggakan terbawa-bawa ke dalam mimpiku. Aku amat merinduimu, wahai ayahku.

Ahad, 8 November 2009

Pagar dari Syaitan

Di bawah ini dinyatakan cara-cara atau amalan yang boleh dilakukan untuk memagar diri anda dari perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam. Sihir mungkin tidak mengenal siapa anda. Ia boleh menyerang anda.Ketahuilah cara memagari diri anda dari sihir dan gangguan syaitan.

Pagar Pertama

(1)- Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:

"Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".(Riwayat al Bukhari.)

Pagar Kedua

(2)- Berwuduk sebelum tidur
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka.Sabda Rasulullah S.A.W:

Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah! Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.' (Riwayat at Tabraaniy dgn sanad yang baik.)

Pagar ketiga

(3)- Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain. Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:

Ertinya:
'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah.Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik).

Pagar Keempat


(4)- Mendirikan Solat Tahajjud utk memagarkan diri dari sihir
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya. Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu. Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut.Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:

Ertinya:
"Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"(Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Pagar Kelima

(5)- Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas
Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ke tandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melapurkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan.Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata:

Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan". Riwayat al Bukhari dan Muslim. Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina.

Pagar Keenam

(6)- Memagar isteri selepas selesai akad nikah
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:

"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."(Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).

Pagar Ketujuh

(7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap. Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah:

"Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.

P/s : Ingatan untuk diri saya serta tetamu ruangan sekalian, berdoalah serta usahalah supaya diri kita serta rakan-rakan di sekeliling kita sentiasa terpagar dari syaitan yang secara terangan berusaha untuk menghapuskan tiap langkah iman anak Adam.

Rabu, 4 November 2009

Fitri Oh Fitri!!!!!

“Fitri!!!!!” panggil Cikgu Hisyam. “Ya, cikgu,”sahut Fitri yang masih bisa sibuk mengunyah kerepek pisang yang dibelinya di koperasi sekolah. “Mari sini sekejap. Saya nak berjumpa dengan kamu,” sambung Cikgu Hisyam, guru disiplin sekolah yang di geruni para pelajar di sekolah itu. Fitri bingkas bangun dari kerusi batu di pondok koperatif sekolah. Jantungnya mula berdegup kencang tatkala kakinya baharu mula melangkah menuju ke bilik disiplin. Mukanya mula bertukar menjadi merah padam. Fikirannya mula berkecamuk memikirkan kebarangkalian terdapat kesalahan kecil mahupun besar yang dilakukannya. Jauh di sudut hatinya dia mula bermonolog sendirian,“aku ni, ada buat hal ke? Tiba-tiba je cikgu panggil aku”. Dia membiarkan saja hatinya membuat andaian terhadap panggilan cikgunya sebentar tadi.

Fitri mula kebingungan. Namun, dia terpaksa melupakan segala perkara yang berada dalam kotak fikirannya itu. Langkahnya semakin pantas kerana dia risaukan kelewatannya menuju ke bilik disiplin itu. Doa-doa ringkas dibacanya berulang kali. Perasaan gementarnya semakin menjadi-jadi. Tetapi, perasaan sebegitu harus disembunyikannya supaya tidak menampakkan kegugupannya di hadapan cikgu nanti.

Fitri melangkah masuk ke bilik disiplin sekolah itu dengan kaki kanan setelah tiga kali mengetuk pintu bilik berkenaan. “Assalamualaikum, cikgu,” mudah saja perkataan itu keluar dari mulut Fitri. Dia mampu mengawal perasaannya yang gugup tadi. Senyuman ringkas mampu diukirkan Fitri. Cikgu Hisyam segera memulakan bicara. “Waalaikumussalam, sila duduk”. Fitri mula menarik sebuah kerusi yang bersandaran pada meja utama bilik itu. Cikgu kelihatan agak sibuk mengemaskan fail-fail disiplin yang agak kurang tersusun di atas mejanya. Cikgu tidak berkata apa-apa. Fitri juga begitu. Suasana menjadi sepi seketika. Namun, setelah fail-fail itu sudah disusun rapi, suasana yang sepi tadi kembali bersuara. “Secara jujurnya, cikgu nak tahu kenapa kamu kurang berminat untuk belajar di sini? Kamu ada masalah ke?”

Fitri mula melayangkan kotak fikirannya pada keadaan rumahnya. Fikirannya melayang jauh. Persoalan Cikgu Hisyam tadi masih tidak dijawabnya lagi. Jauh di sudut hatinya, dia teringatkan keadaan ayah dan ibunya yang kurang sihat sibuk membanting tulang menyara kehidupan dan pelajaran dia dan adiknya, Fadhil. Lamunan Fitri mula tersentak apabila namanya dipanggil berulang kali oleh Cikgu Hisyam. “Fitri, kamu ada masalah ke? Boleh ceritakan pada cikgu?” suara Cikgu Hisyam semakin rancak bertandang di gegendang telinganya. “Saya tak ada masalah, cikgu. Kenapa, cikgu?” soal Fitri ingin tahu. “Tak, cikgu ada menerima laporan bahawa sejak kebelakangan ini, kamu sering bermuram dan tidak menumpukan perhatian ketika belajar di dalam kelas. Kamu ada masalah ke?”soal Cikgu Hisyam yang cuba untuk mencungkil rahsia dan perkara sebenar yang masih terbuku di dalam hati sanubari pelajarnya itu. Fitri diam. Segala pertanyaan yang diajukan oleh Cikgu Hisyam, tidak dijawab. Dia terus membisu. Sehinggalah masa rehat tamat, Fitri masih tunduk. Enggan menjawab persoalan yang diutarakan oleh cikgu sebentar tadi. Namun, Cikgu Hisyam membenarkan Fitri bergerak ke kelasnya untuk meneruskan Kelas Fleksi Bukhari kerana hanya tinggal dua bulan sahaja lagi untuk Fitri bersiap sedia sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Namun, sebelum Fitri melangkah keluar dari bilik disiplin itu, Cikgu Hisyam sempat memberitahu Fitri bahawa segala masalah yang di alami pasti ada penyelesaiannya dan berkongsilah dengan sesiapa yang boleh dipercayai. Dan yang paling penting, jika malu untuk berkongsi dengan lisan, gunalah surat sebagai pengganti diri. Fitri menghulurkan tangan bersalaman dengan Cikgu Hisyam sambil mengucapkan ucapan terima kasih. Dia sempat mengukir senyum simpul kepada cikgu disiplinnya itu buat pertama kali kerana selama ini dia menyangkakan bahawa Cikgu Hisyam seorang guru yang cukup garang dan menakutkan. Namun, sekarang, sangkaannya meleset sama sekali.

………………………………..

Fitri meneruskan pembelajarannya seperti biasa. Tapi, terkadang, masalah kerisauannya terhadap ibu bapanya sering menghantui dirinya. Namun, bagi dirinya, itu sudah menjadi lumrah bagi setiap ibu bapa akan berusaha sedaya upaya untuk menyediakan segala yang terbaik kepada anak-anak mereka. Tetapi, Fitri hairan. Mengapa mereka perlu merahsiakan perkara sebenar tentang kelahirannya? Dan kenapa pula perkara sebegitu dirungkaikan ketika dia sibuk menguruskan dokumen-dokumen penting untuk meneruskan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dulu? Kenapa tidak sebelum itu? Patutlah setiap kali ada saja borang dari sekolah yang perlu diisi, ayah akan segera menyiapkan dan menyerahkan sendiri borang itu kepada guru kelas.

Fitri mengingatkan kembali kata-kata ibunya ketika perkara sebenar tentang kelahirannya dirungkai semula. “Fitri, ibu dengan ayah nak minta maaf. Ibu harap Fitri dapat dengar dengan tabah apa yang nak ibu cakapkan”. Fitri hairan dengan kata-kata ibunya. Namun, dia hanya menganggukkan kepala sahaja tanda setuju. “Sebenarnya, hal ini ibu dengan ayah telah sorokkan sejak Fitri lahir lagi. Sekali lagi ibu minta maaf. Sebenarnya, ibu dengan ayah bukanlah ibu dan ayah kau yang sebenar,” sambung ibunya lagi sambil menitiskan air mata.

Fitri terkedu mendengar hal yang sebenar yang terpacul keluar daripada mulut ibunya itu. Matanya tiba-tiba sahaja mula digenangi dengan air mata. Namun, kolam kelopak matanya tidak mampu menampung genangan air matanya yang terlalu banyak. Dan akhirnya, pipinya yang putih basah dengan linangan air sendunya itu. Ayahnya yang tadi hanya mendiamkan diri, bingkas bersuara, “tapi, ibu dengan ayah tetap anggap Fitri macam keluarga kami sendiri”. Fitri tidak menghairankan kata-kata ayahnya itu. Yang pasti, pelbagai bentuk persoalan semakin banyak tercetus dalam benak nuraninya. Dengan pantas, Fitri bersuara, “habis, siapa ibu dan ayah Fitri yang sebenar?” Sepantas kilat, kepala ibunya yang tertunduk menangis sebentar tadi, bangkit menatap raut wajah anaknya itu.

Namun, ibunya merasakan terlalu berat untuk memberitahunya. Lalu, dengan bingkas, ayahnya memulakan cerita. “Fitri, ayah bekerja sebagai seorang askar sejak tahun 1964 lagi. Sejak dari itu, ayah telah bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang baik dan ada juga yang jahat. Namun, tugas ayah adalah menjaga keselamatan dan keamanan di negara ini. Ketika itu, ayah masih bertugas di Perak. Namun, pada tahun 1979, selepas ayah dengan ibu kamu diijabkabulkan, ayah ditukarkan ke Kem Askar Wataniah Sarawak. Kami hidup di sana aman dan bahagia.

Namun, pada tahun 1989, setelah sepuluh tahun berkahwin, ibu dengan ayah masih tidak dikurniakan seorang cahaya mata. Kebetulan, pada suatu hari, ketika ayah ditugaskan untuk menjaga kawasan hospital, ada seorang wanita cina yang baru sahaja tiga hari melahirkan seorang bayi lelaki, bertanyakan kepada ayah sama ada ayah sudi untuk menjaga anaknya itu atau pun tidak. Sebenarnya Fitri, ayah amat terkejut akan pertanyaan wanita itu. Tambahan pula katanya, suaminya tidak menyukai anaknya itu dan dia terpaksa menyerahkan bayinya itu kepada sesiapa sahaja yang sudi menerimanya. Jadi, setelah pulang dari hospital, ayah berjumpa dengan imam besar kem tentera dan bertanyakan perihal tersebut. Namun, jawapannya positif. Imam tersebut menggalakkan ayah supaya menerima bayi cina itu sebagai anak angkat dan mengislamkan bayi tersebut. Tambahan pula, ayah dan ibu kamu inginkan cahaya mata,” cerita ayahnya sambil memandang perkarangan rumah mereka melalui tingkap di ruang tamu rumahnya itu.

Ayahnya menyambung kembali cerita panjang itu walaupun dia merasakan keperitan yang amat sangat, “dan, keesokan harinya, ayah menuju ke hospital seperti biasa untuk menjalankan tugas. Harapan ayah agar dapat bertemu dengan wanita cina itu lagi dan segera memberitahunya tentang persetujuan ayah untuk mengambil bayi lelaki itu sebagai anak angkat. Dan apa yang ayah harapkan tidak menjadi. Hal ini kerana wanita cina itu telah melarikan diri dari hospital berkenaan”.

Dengan wajah yang hampa, ayahnya meneruskan cerita, “harapan ayah hancur berkecai. Selang tiga jam kemudian, pihak askar menerima satu laporan tentang kes sindiket penjualan bayi di dalam sebuah bot tongkang di Sungai Semporna. Jadi, ayah bersama pihak polis dan marin dari Miri, Semporna, dan Tawau telah mengepung kawasan berkenaan. Dan hasilnya, kami menemui bayi lelaki wanita cina tadi bersama beberapa orang asing dari Thailand yang terlibat dengan sindiket tersebut. Walau bagaimanapun, suami dan wanita cina itu berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa. Dan bayi lelaki cina itu ayah bawa pulang ke rumah setelah segala urusan kelahirannya ayah uruskan. Bayi itulah sebenarnya adalah,……kamu,….Fitri”.

Fitri tersedu sekali lagi dengan kata-kata ayahnya itu. Ibunya masih tidak dapat menghentikan tangisannya tatkala kisah lama yang hampir berusia lebih satu dekad itu diungkai semula. Fitri bingkas bangun dari kusyen empuk di ruang tamu rumahnya itu. Dia segera mencapai basikal usangnya yang tersadai di pondok hadapan rumahnya menuju ke rumah neneknya tidak jauh dari rumahnya sendiri. Perasaan terkejut dan terharu terus menyelubungi pelusuk tubuh diri Fitri. Namun, jauh di sudut ruang hatinya, dia menanam perasaan dendam kesumat yang teramat sangat kepada ibu dan ayah kandungnya itu.

Fitri tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia hanyalah seorang anak angkat. Wajah neneknya ditatap rapi. Fitri tidak dapat menahan air matanya daripada terus berguguran membasahi pipinya itu. Namun, dia tetap berhasrat untuk mengetahui hal sebenar daripada neneknya itu. Persoalan demi persoalan dilontarkan Fitri. Dengan tangan yang berkedut, lembut, neneknya mengesat air mata pada pipi Fitri. Neneknya sudah dapat baca apa yag tersembunyi di sebalik hatinya. Dengan manis bicara, neneknya mengiakan segala pertanyaan Fitri. Tanpa di duga Fitri terjelepuk duduk di sisi meja makan rumah neneknya itu. Begitu pantas air matanya mengalir mencurah-curah ke pipinya. Esakan kecil Fitri rasakan. Neneknya pantas mendakap erat Fitri yang masih meratap kesedihan atas apa yang berlaku. Matanya bengkak dan kemerahan kesan tangisan yang dirasainya itu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sayunya hatinya mendengar hakikat sebenar kehidupannya. Fitri berasa asing apabila perkara tersebut diluahkan sendiri oleh ibu dan ayahnya. Dia merasakan kehinaan yang amat sangat kerana dia bukannya datang dari keluarga yang baik-baik. Fitri mengambil keputusan untuk tinggal beberapa hari di rumah neneknya itu sementara hatinya sejuk dan dapat menerima hakikat sebenar.

………………………………..

“Fitri, Fitri nak tahu sesuatu tak?” soal nenek pada Fitri di suatu ruangan tamu ketika dia asyik menonton televisyen rancangan realiti. Fitri terkejut dengan kata-kata neneknya itu. Dia merasakan seolah-olah masih banyak perkara yang dirahsiakan oleh ayah, ibu dan nenek dari pengetahuannya. “Apa dia, nek?” soal Fitri kembali. “Fitri, Fitri tahu tak yang orang lain semua sayangkan Fitri, walaupun mereka tahu yang Fitri sebenarnya bukan darah daging mereka sendiri?” neneknya cuba untuk menguji Fitri samada dia sayangkan mereka atau pun tidak. Fitri kelu. Lalu, neneknya menyambung lagi. “Dan sebab ada Fitri lah, ibu Fitri dikurniakan zuriat oleh Allah iaitu adik Fitri, Fadhil. Sebenarnya Fitri, ibu Fitri tidak pernah ada susu badan ketika menjaga Fitri. Dan dia terpaksa meminta Mak Cik Leha untuk menyusukan Fitri yang kebetulan pula, dia baru sahaja melahirkan anak pada ketika itu. Dan setelah dua tahun menjaga Fitri, ibu Fitri pula dikurniakan cahaya mata. Setelah ibu Fitri melahirkan Fadhil, Fitri dan Fadhil sama-sama berebut mahu minum susu. Kenangan itulah menyebabkan ibu dan ayah Fitri bertambah sayang sangat pada Fitri. Fitri tak sayangkan mereka ke?” nada nenek tiba-tiba saja berubah sedih. Fitri sedar tindakannya meninggalkan rumah untuk sementara waktu boleh menyebabkan ibu dan ayahnya tersinggung. Tapi apakan daya. Dia mahu menenangkan fikirannya.

Hari demi hari berlalu. Fitri semakin bisa menerima hakikat sebenar tentang hidupnya. Dia semakin gembira dengan adanya ibu dan ayah angkatnya yang terlalu prihatin akan keperluan hariannya. Tapi terkadang, Fitri menjadi asing tatkala menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ahli keluarga ibu dan ayahnya sering bertandang di rumahnya. Jadi, Fitri selalu memikirkan bahawa dia seorang anak buangan bahkan boleh jadi dia seorang anak yang hina. Oleh sebab itu, Fitri sentiasa dalam kemurungan apabila tiba saja musim perayaan itu. Sehinggakan, pada hari raya ketiga, sewaktu dia berusia lima belas tahun, emak susuannya, Mak Cik Leha mengajaknya untuk mengikuti mereka berkelah di Pulau Tioman. Dan daripada itulah, Fitri mudah bermesra dengan semua ahli keluarga sebelah ibunya ataupun sebelah ayahnya. Semakin lama, Fitri semakin erat dengan keluarganya dan dia semakin selesa tinggal di situ.

………………………………..

“Fitri, ada barang lagi ke yang nak bawa ni?” soal bapanya tatkala bonet kereta hampir ditutup rapi. Fitri akan mendaftarkan dirinya di sekolah berasrama penuh. Harapannya untuk berjaya dalam peperiksaan UPSR sebelum ini tercapai apabila sijil anugerah pelajar cemerlang 5A digenggamnya erat.

Setibanya Fitri di sana, wajahnya kelihatan sungguh ceria. Sememangnya sikapnya yang peramah dan mudah mesra dengan orang lain membuatkan rakan-rakan barunya terasa terlalu mudah untuk mendampinginya. Fitri tidak merasa asing di sekolah itu. Pelukan erat ayah, ibu dan adiknya dirasakan. Lambaian perpisahan ayah dan ibunya buat kali terakhir disambut baik Fitri dengan tangisan ringkas.

Belum sempat lamunannya berakhir, sahutan suara Ustaz Haris pula yang bertandang dan bergetar di cuping telinganya. Lantangan suara ustaz sudah cukup untuk memalukan Fitri di hadapan rakan-rakan yang lain di dalam kelas. Mukanya bertukar menjadi merah padam tatkala sindiran sinis Ustaz Haris memecah kesunyian kelas 5 Al-Bukhari itu. Apabila tamatnya sesi pelajaran Bahasa Arab bersama Ustaz Haris, Fitri segera merencanakan kisah asal kelahirannya yang selama ini masih menghantui dirinya pada beberapa helaian kertas putih untuk ditunjukkan pada Cikgu Hisyam. Dengan pantas, Fitri segera menyiapkan kisah hidupnya itu. Lalu, diserahkannya kepada Cikgu Hisyam dengan hanya meletakkannya di atas meja cikgu. Fitri bergegas pulang ke kelasnya untuk siap bersedia meneruskan sesi pembelajaran seterusnya.

………………………………..

Kkrrriiiiiinnngggg!!!!! Loceng rehat lantang berbunyi. Semua pelajar mula bergegas keluar dari kelas menuju ke kantin sekolah. Namun, pada waktu itu, Fitri dipanggil oleh Cikgu Hisyam ke biliknya. Kali ini, perbincangan antara Fitri dengan cikgu disiplinnya itu lebih menumpukan pada penyelesaian atas apa yang sentiasa bermain di fikirannya. Fitri kagum dengan tiap-tiap lirik bicara gurunya itu. Segala masalah yang bertaut, ada saja cara penyelesaian yang rasional. Perbincangan mereka terkadang terselit dengan gelak ketawa kecil tatkala lawak-lawak spontan dan ringkas Cikgu Hisyam berkumandang di bilik disiplin sekolahnya itu. Fitri selesa dengan kata-kata cikgunya itu. Hatinya sekarang sudah dipenuhi dengan rasa syukur yang tak terhingga kerana jika tidak, dia tidak akan merasai akan manisnya iman dan Islam. Jika tidak, mungkin dia sudah dijual dengan harga RM 600 itu. Dan jika tidak, besar kemungkinan dia sudah dipaksa menjadi pengemis jalanan yang tidak terurus hidupnya. Rasa untung, puas hati, dan syukurnya itu biasanya lebih tergambar tatkala program Qiamullail yang diadakan oleh Badan Dakwah Rohani dan Ibadah (BADRI) sekolah, dijalankan pada setiap minggu.

Fitri kembali serasi dengan kehidupannya seperti biasa. Masalah-masalahnya yang sering menghantuinya itu, sering dielakkannya dengan membaca Al-Quran. Dan kini, prestasi pembelajaran Fitri semakin meningkat naik. Dia semakin rapat dengan guru disiplinnya itu yang secara kebetulannya Cikgu Hisyam merupakan mentor dan pembimbing kepada ahli-ahli biliknya. Secara ringkasnya, Fitri sudah menganggap Cikgu Hisyam sebagai ayahnya sendiri, walaupun dia sedar bahawa dia tidak layak menjadi pelajar yang rapat dengan cikgunya kerana mereka berlainan bangsa. Namun, dia berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan dan menghilangkan segala perasaan negatifnya itu dari terus mendiam dalam hatinya.

Perasaan gembiranya semakin rancak tergambar pada raut wajahnya walaupun terkadang masalah lamanya itu kembali bertandang dalam kotak fikirannya. Fitri juga kini sudah mampu untuk menerima kembali ibu dan ayah angkatnya. Segala dendam yang masih kesumat dalam hatinya mengenai ibu dan ayah kandungnya, dibiarkannya berlalu begitu sahaja. Apa yang mampu diungkapkan olehnya hanyalah mengharapkan ibu dan ayah kandungnya itu diberi hidayah oleh Allah andai kata mereka masih hidup di dunia fana ini.

TAMAT



Untuk perhatian tetamu ruangan, kisah ini merupakan kisah benar tetapi telah diubahsuai supaya watak dan jalan ceritanya tidak menunjukkan watak sebenar. Diharapkan sidang pembaca dapat mengambil iktibar daripada kisah ini. Sekian, sekalung apresiasi, terima kasih.

Selasa, 3 November 2009

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum


Assalamualaikum dan salam perkenalan buat tetamu ruangan yang dihormati...

Moga-moga kesempatan masa yang diberi oleh-Nya buat masa ini, dapat kita manfaatkan untuk tujuan muhasabah diri kita sebagai umat yang kadang kala alpa dengan keduniaan...

Oleh yang demikian, saya berharap agar ruangan ini dapat dimanfaatkan oleh insan-insan yang mahu dan berkesempatan untuk berkongsi ceritera suka duka serta masalah dalam menempuh hidup yang serba mencabar ini.

Jika dilihat, manusia hari ini mudah terikut-ikut dengan budaya sekular yang sudah mendapat tempat di hati remaja tanpa memikirkan impak dan implikasinya terhadap kehidupan pada masa akan datang. Justeru, sebagai anak watan yang cakna dengan polemik ini, tidak salah kiranya ruangan ini menjadi wadah dan medium dalam merencanakan segala rencah kehidupan sebagai ramuan terkini dalam mendapatkan hidangan bermutu.

Sudah tiba masanya untuk anak-anak muda bangun dan bangkit dari lena yang berpanjangan. Ayyuhasy syabab, ta'al. Hayya, hayya... Jangan sampai remaja yang leka pada hari ini terus hanyut dalam kancah hina. Jangan sampai belia yang hidup pada hari ini terus lenyap dalam lembah kemaksiatan yang akhirnya menutup hiba segala kegemilangan yang terlakar oleh umat Islam terdahulu.

Oleh yang demikian, wahai rakan-rakanku, kita kongsilah apa sahaja kisah dan cerita hati dalam ruangan ini supaya apa yang kita kongsikan itu mendapat keberkatan dan memberi iktibar kepada manusia yang lain. InsyaAllah, bagi insan-insan yang memahami suara hati anda, mereka akan berfikir selaku manusia yang waras. Sekian, terima kasih.